Harga siling benih padi sah RM35

Azman
Azman
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menetapkan harga siling Benih Padi Sah (BPS) ialah RM35 bagi setiap beg.

Ketua Pengarah Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras, Azman Mahmood berkata, penetapan harga itu bagi mengelakkan manipulasi BPS dan harga lapangan menerusi pembelian tanpa kawalan oleh pelbagai pihak di pintu kilang.

"Keputusan juga dibuat oleh MAFI selepas mengesan ada penjualan benih padi secara haram oleh ejen atau orang tengah kepada pesawah tanpa lesen sah daripada Kawal Selia Padi dan Beras (Bernas)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, pelaksanaan mekanisme itu dilakukan berikutan isu sama berulang pada setiap musim penanaman padi hingga menyebabkan timbulnya kelewatan penghantaran.

"Harga benih padi yang dibeli pesawah tidak dikawal sehingga ada yang menjualnya pada harga RM33 hingga RM60 setiap 20 kilogram (kg) benih padi," katanya.

Beliau berkata, bagi mengatasi isu manipulasi harga dan pengedaran benih padi, MAFI telah melaksanakan pindaan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) di bawah Seksyen 4(2) iaitu melantik Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) sebagai pemborong tunggal.

"Lesen peruncit hanya dikeluarkan kepada 145 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) berkaitan tanaman padi di Semenanjung Malaysia selain harga siling BPS RM35 tanpa melibatkan tambahan peruntukan insentif kepada kerajaan," katanya.

Azman berkata, pihaknya juga akan melaksanakan pengawasan kualiti di sepanjang rantaian nilai benih padi sah.

Artikel Berkaitan:

"MAFI kini dalam proses mengenal pasti syarikat baharu untuk dipertimbangkan sebagai panel pengeluar benih padi sah bagi tempoh tiga tahun akan datang," katanya.

Sehingga kini katanya, sebanyak 81,000 beg telah diedarkan kepada Selangor, Perak dan Pahang melalui ejen rasmi yang berlesen.

"Penggunaan benih padi sah oleh pesawah amat penting kerana dapat mengatasi padi angin di samping meningkatkan mutu pengeluaran padi dan beras negara secara konsisten," katanya.