KDNK Malaysia diunjurkan sekitar -5.5 peratus pada 2020

Suku keempat 2020 menyaksikan pengeluaran perindustrian dan eksport Malaysia masing-masing pada -0.3 peratus dan 5.2 peratus sementara kadar pengangguran pada 4.8 peratus.
Suku keempat 2020 menyaksikan pengeluaran perindustrian dan eksport Malaysia masing-masing pada -0.3 peratus dan 5.2 peratus sementara kadar pengangguran pada 4.8 peratus.
A
A
A

KUALA LUMPUR - AmBank Research menjangkakan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada sekitar -5.5 peratus pada 2020 daripada 4.3 peratus pada 2019 berikutan petunjuk ekonomi yang lemah susulan krisis Covid-19.

Ia turut menganggarkan KDNK Malaysia mungkin berlegar antara -3.2 peratus dan -3.5 peratus pada suku keempat 2020 (Q4 2020) disebabkan oleh pengeluaran perindustrian dan eksport yang lemah serta kadar pengangguran yang tinggi dalam tempoh suku berkenaan.

Untuk suku keempat 2020, pengeluaran perindustrian dan eksport Malaysia masing-masing pada -0.3 peratus dan 5.2 peratus sementara kadar pengangguran pada 4.8 peratus.

"Ini (KDNK Q4 2020) diunjurkan lebih lemah daripada -2.7 peratus yang dilaporkan pada Q3 2020, sebahagiannya disebabkan oleh langkah-langkah sekatan berpilih yang dikuatkuasakan pada suku keempat ketika jumlah kes Covid-19 baharu meningkat,” kata AmBank Research dalam satu nota penyelidikannya pada Selasa.

Ia menambah prestasi perindustrian bercampur-campur sepanjang tahun 2020 dengan data menunjukkan pertumbuhan tahunan enam bulan yang negatif terutamanya disebabkan oleh impak daripada pandemik Covid-19 dan langkah-langkah sekatan yang diambil untuk membendung penularan virus seperti sekatan pergerakan.

"Langkah-langkah sekatan ini telah menyebabkan gangguan kepada rantaian penawaran global, permintaan dan pekerjaan. Dengan demikian, untuk tahun penuh 2020, IP menguncup sebanyak 4.2 peratus tahun ke tahun (y-o-y).

"Kegiatan pembuatan terus menyokong indeks pengeluaran perindustrian, meningkat 4.1 peratus tahun ke tahun pada Disember, menjadikan purata suku keempat 2020 kepada 2.8 peratus tahun ke tahun.

"Perdagangan luaran yang semakin pulih dan peningkatan secara beransur-ansur dalam beberapa bidang kegiatan domestik telah menyokong aktiviti pembuatan," kata AmBank Research.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, langkah-langkah sekatan dalam suku keempat 2020 menyaksikan jumlah pengangguran meningkat kepada 772,900 berbanding kepada 737,500 pada akhir suku ketiga 2020.

“Ini terus menjadi kebimbangan walaupun 22,300 pekerjaan telah diwujudkan pada suku keempat 2020 daripada 202,900 pada suku ketiga 2020,” kata AmBank Research. - Bernama