X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 29 November 2021

Pulau Pinang catat kes Covid-19 tinggi sejak minggu lalu

Chow Kon Yeow
A
A

GEORGETOWN - Pulau Pinang mencatatkan jumlah kes agak tinggi sejak minggu lalu susulan kluster baharu yang dikesan membabitkan sektor pembuatan, perkilangan serta tapak binaan.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, menurut laporan daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Pulau Pinang menerima laporan sebanyak 912 kes positif Covid-19.

Menurutnya, ia melibatkan 624 kes iaitu 68.4 peratus adalah membabitkan warganegara manakala bakinya, 288 kes (31.6 peratus) merupakan bukan warganegara bagi minggu epid kelima iaitu 31 Januari hingga 6 Februari.

"Daripada pecahan kes, terdapat empat kluster iaitu kluster Mayang Pasir, 194 kes; Beringin (102), Tapak Bina Valdor (75) dan Penjara Seberang Perai (15).

"Selain itu, 206 kes membabitkan saringan di tempat kerja, 172 kes saringan kontak rapat dan 148 kes saringan bergejala, saringan pra-pembedahan dan lain-lain saringan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, secara keseluruhan, sebanyak 8,873 ujian pengesahan Covid-19 dijalankan sepanjang tempoh berkaitan (epid kelima) membabitkan pelbagai fasiliti kesihatan di bawah pemantauan JKNPP.

"Majoriti saringan adalah tertumpu kepada saringan kontak rapat kes positif, tempat kerja di kilang industri serta tapak binaan dan saringan bergejala.

"Sehingga 7 Februari lalu, 49,681 warga asing berdaftar di bawah Program Saringan Covid-19 Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau atas inisiatif majikan sendiri telah menjalani ujian saringan," katanya.

Kon Yeow berkata, kerajaan Persekutuan wajar memberi perhatian segera terhadap isu ujian saringan susulan beberapa kesulitan yang dihadapi pihak majikan.

"Antara kesulitan yang dihadapi majikan adalah membabitkan kekangan kos serta ketidakupayaan menyediakan stesen kuarantin bagi pelaksanaan saringan secara menyeluruh dalam kalangan pekerja masing-masing.

"Sehubungan itu, bagi menentukan kaedah pengurusan termasuk mengklasifikasikan tahap pesakit Covid-19, 27 buah Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) diwujudkan meliputi lima daerah di seluruh negeri ini termasuk perkhidmatan pandu lalu," katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai keperluan boleh menghubungi CAC di daerah masing-masing selain semua maklumat berkaitan boleh diakses di laman Facebook JKNPP dan Penang Lawan Covid-19.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!