Tak mampu bayar sewa rumah baharu

Khairul Nizam (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas kepada Norliza di PPR Melana Indah, Taman Perling, Johor Bahru, pada Selasa.
Khairul Nizam (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas kepada Norliza di PPR Melana Indah, Taman Perling, Johor Bahru, pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seorang suri rumah dari Projek Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah, Taman Perling bimbang kehilangan tempat berteduh kerana kontrak menduduki kediaman itu bakal tamat pada Oktober ini.

Norliza Mokhtar, 33, buntu memikirkan kontrak rumah transit selama tiga tahun di PPR itu bakal tamat kira-kira tujuh bulan lagi kerana keluarganya belum mempunyai kediaman lain selain tidak mampu membayar sewa rumah baharu.

Katanya, pendapatan suaminya, Mohd Abdullah Mat Husin, 39, yang bekerja sambilan di sebuah bengkel dengan gaji RM2,000 hanya sekadar cukup makan mereka sekeluarga.

"Kami mempunyai sembilan anak berusia antara lima hingga 17 tahun yang sedang bersekolah di kawasan berhampiran PPR ini.

"Ketika mengetahui perkara itu pada awal Isnin lalu, saya jadi bingung dan tidak senang duduk memikirkan perkara yang perlu dilakukan. Bukan kerana tidak menjangkakan perkara itu cuma kami tidak mampu berpindah," katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang menyampaikan bantuan menerusi Program Jejak Asnaf di rumahnya pada Selasa.

Menurut Norliza, di lebih berharap permohonan rayuan untuk dipindahkan ke PPR lain diterima kerana harga rumah sewa berhampiran Taman Perling tinggi.

Tambahnya, dia mengambil inisiatif menjual nasi lemak dan ayam penyet selain mengambil upah mengurut badan untuk wanita bagi menjana pendapatan tambahan membantu suami.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, pendapatan yang diperoleh tidak banyak malah tidak mampu menampung keperluan persekolahan anak-anak selain terpaksa berhutang dengan kedai runcit bagi keperluan makanan.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah MAINJ, Khairul Nizam Mat Said berkata, pihaknya akan cuba membantu keluarga tersebut mendapatkan bantuan bulanan sehingga RM750.

"Hari ini kita menyampaikan bantuan keperluan asas selain wang tunai sebanyak RM500. Mengenai bantuan bulanan itu pula bergantung kepada perbincangan," katanya.