Pegawai Perancang Bandar dan Desa didakwa terima rasuah

Zariman Ibrahim, 41, (hadapan) mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4,500 ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Selasa.
Zariman Ibrahim, 41, (hadapan) mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4,500 ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Selasa.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang Pegawai Perancang Bandar dan Desa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4,500 tiga tahun lalu.

Tertuduh, Zariman Ibrahim, 41, semasa kejadian berkhidmat di Majlis Daerah Besut membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam gred J41 didakwa menerima wang berjumlah RM4,500 melalui akaun peribadinya dengan tiada balasan daripada Nor Hashimi Hassan yang mengetahui beliau mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 4 September 2018 yang merupakan kesalahan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tempoh tidak melebihi dua tahun atau didenda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh dan tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Sejurus pengakuan tidak bersalah direkodkan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM setiap 1 hari bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes untuk serahan dokumen dan lantikan peguam pada 9 Mac depan.

Artikel Berkaitan: