Terima suapan, bekas pegawai kebudayaan didenda RM40,000

Tertuduh didenda RM40,000 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM25,500 tiga tahun lalu.
Tertuduh didenda RM40,000 selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM25,500 tiga tahun lalu.
A
A
A

IPOH - Bekas Pegawai Kebudayaan Kumpulan Selendang Perak di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak didenda RM40,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM25,500, tiga tahun lalu.

Hakim S Indra Nehru menjatuhkan hukuman itu terhadap Herman Ibrahim, 46, selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan pilihan itu.

Mahkamah turut memerintah tertuduh membayar RM45,000 kepada kerajaan Malaysia bagi pemulangan semula semua harta yang disita daripada tertuduh ketika operasi iaitu kedai dobi dan barangan kemas.

Berdasarkan pertuduhan, Herman didakwa atas enam pertuduhan menerima suapan dengan jumlah keseluruhan RM257,600 antara November 2018 hingga Februari 2019.

Semua kesalahan itu dilakukan di tempat dan waktu berbeza ketika bertugas sebagai ejen kepada Sekretariat Sukma XIX Perak 2018.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Dia bagaimanapun dilepaskan dan dibebaskan bagi empat pertuduhan lain di bawah Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

Peguam Khairil Azwar Khalil yang mewakili tertuduh memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan dan pendakwaan telah mengadakan Akuan Rundingan dan dipersetujui semua pihak mengikut Seksyen 172C Kanun Tatacara Jenayah.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Wahida Jalaluddin yang mengendalikan kes itu bersetuju dengan rundingan tersebut dan mengesahkan borang akuan berkenaan.

Selepas meneliti dan mengambil kira hujah pihak pembelaan dan pendakwaan, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM20,000 dan jika gagal bayar dipenjara lapan bulan bagi setiap pertuduhan.