Lari ke negara jiran tinggalkan syabu RM16.08 juta

Zamsari (tiga dari kanan) dan Mohamad Roy (kiri) menunjukkan dadah jenis syabu bernilai RM16.08 juta yang dirampas oleh ATM di Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang.
Zamsari (tiga dari kanan) dan Mohamad Roy (kiri) menunjukkan dadah jenis syabu bernilai RM16.08 juta yang dirampas oleh ATM di Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang.
A
A
A

PASIR MAS - Dua lelaki bertindak melarikan diri ke negara jiran dengan meninggalkan dadah jenis syabu bernilai RM16.08 juta selepas diserbu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika cuba menyeledup masuk bahan terlang itu ke negara ini pada Isnin.

Rampasan dadah seberat 402 kilogram itu dilakukan oleh anggota ATM dari pasukan Batalion Ke-4 Rajimen Sempadan di Kampung Lubok Stol, Rantau Panjang pada jam 10 pagi.

Panglima Briged Kelapan Infantri Malaysia (8 Briged), Brigedier Jeneral Zamsari Abu Hassan berkata, semasa melakukan rondaan di kawasan sempadan Malaysia-Thailand, pihaknya telah terserempak dengan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang menurunkan guni-guni ke kawasan tebing sungai di negara ini.

"Sejurus melihat kehadiran anggota ATM, dua lelaki itu terus bertindak melarikan diri ke negara jiran menggunakan bot," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas pada Isnin malam.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif.

Zamsari berkata, hasil pemeriksaan telah membawa kepada penemuan 10 guni hitam di kawasan tersebut.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas guni itu membawa kepada penemuan bungkusan syabu seberat 402 kilogram.

Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan dadah yang cuba diseludup masuk dari negara jiran itu untuk pasaran luar Kelantan.

Artikel Berkaitan:

"Ini merupakan rampasan dadah terbesar yang dirakamkan oleh ATM bagi 2021 di kawasan penugasan Op Benteng di zon Kelantan Utara.

"Saya harap kejayaan ini menjadi pemangkin kepada ATM untuk terus melipatgandakan lagi penugasan bagi memastikan jenayah rentas sempadan berjaya dikurangkan," katanya.