Piza klasik dari ketuhar tanah liat

Che Ku Nasir (kanan) dan Che Ku Basir menunjukkan pizza yang dihasilkan menggunakan kaedah tradisional daripada bahan bakar kayu api dan tempurung serta ketuhar tanah liat.
Che Ku Nasir (kanan) dan Che Ku Basir menunjukkan pizza yang dihasilkan menggunakan kaedah tradisional daripada bahan bakar kayu api dan tempurung serta ketuhar tanah liat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Aroma klasik daripada bahan bakar seperti tempurung dan kayu api di dalam ketuhar tanah liat menyerlahkan lagi keunikan hidangan piza yang diusahakan pasangan kembar adik-beradik di pusat bandar di sini.

Pemilik Ulicafe, Che Ku Nasir Che Ku Maidin, 40 berkata, beliau tidak menyangka sajian popular Itali yang diusahakan bersama abangnya, Che Ku Basir sejak Sabtu lalu itu mendapat sambutan hangat pelanggan sehingga mampu terjual 100 keping dalam sehari.

Che Ku Nasir di samping piza bersaiz XXXL yang dihasilkan menggunakan kaedah pembakaran tradisional. FOTO: Facebook Ulicafe
Che Ku Nasir di samping piza bersaiz XXXL yang dihasilkan menggunakan kaedah pembakaran tradisional. FOTO: Facebook Ulicafe

“Saya tak sangka dapat sambutan hangat memandangkan kami baru sahaja beroperasi malah premis ini juga belum siap sepenuhnya lagi. Mungkin keunikan aroma yang dimasak menggunakan ketuhar tanah liat dan kayu kebun seperti rambai serta rambutan menjadikan ia sedikit berbeza,” katanya.

Che Ku Nasir berkata, sepanjang tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini beliau hanya menyediakan piza berdasarkan tempahan awal iaitu sehari sebelum dan 20 peratus lagi tempahan bagi pelanggan yang datang secara ‘walk in’.

“Setakat ini kita hanya sediakan kaedah bawa pulang (take away) memandangkan masih berada dalam tempoh PKP. Pelanggan juga diminta menempah lebih awal bagi mengelak sebarang kesulitan.

“Kita turut menyediakan perkhidmatan bayaran semasa penghantaran (COD) khusus bagi pelanggan di kawasan bandar Kuala Terengganu sahaja buat masa ini,” katanya ketika ditemui di premisnya, di Jalan Dato’ Isaacs, di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, buat masa ini terdapat empat hidangan piza disediakan iaitu pepperoni ayam, pepperoni daging, daging salai dan uli chicken yang didatangkan mengikut dua saiz iaitu kecil dan sederhana.

"Kita sebenarnya ada empat saiz piza iaitu S (8inci), M (10 inci), L (12 inci) dan XXXL (20 inci) iaitu saiz pizza yang boleh dinikmati sehingga lapan orang. Kesemua saiz ini dijual bermula harga RM16 hingga RM63.

"Bagaimanapun, setakat ini kita belum boleh buat semua saiz kerana masih tertakluk dengan SOP PKP di mana pelanggan masih belum dibenarkan makan di kedai," katanya.

Che Ku Nasir berkata, tempoh menyediakan bagi setiap keping piza yang ditempah pelanggan mengambil masa sehingga 10 minit bermula daripada membuat toping daripada doh yang sudah siap diuli sehingga kepada proses membakar piza.

“Doh yang sudah siap diuli akan dibentuk berdasarkan saiz yang dipesan pelanggan. Selepas itu ia akan dimasukkan ke dalam ketuhar dengan kepanasan 300 darjah Celsius selama lima minit.

Piza yang siap dibentuk dimasak di dalam ketuhar tanah liat dengan suhu 300 darjah celsius selama kira-kira lima minit.
Piza yang siap dibentuk dimasak di dalam ketuhar tanah liat dengan suhu 300 darjah celsius selama kira-kira lima minit.

“Pada peringkat ini ia memerlukan kemahiran untuk mengawal suhu dan api supaya piza yang dimasak sekata dan tidak hangit,” katanya yang kini mempunyai seramai enam pekerja.

Che Ku Nasir berkata, walaupun kaedah penyediaan piza secara tradisional agak rumit, ia memberikan satu kepuasan kerana mampu menyediakan hidangan menggunakan kaedah tradisional yang jarang diusahakan.

“Saya sendiri gemarkan sesuatu yang bersifat tradisional dan jarang digunakan oleh kebanyakan daripada kita pada masa kini.

“Sebab itulah saya memilih untuk membuka premis yang mempunyai ciri dan konsep klasik sepenuhnya bermula daripada hidangan sehingga reka bentuk premis ini kerana ia serasi dengan jiwa saya sendiri,” katanya.

Ulicafe beroperasi setiap hari bermula jam 1 petang hingga 9 malam.