Kadar pengangguran dijangka meningkat: MTUC

Covid-19 menyebabkan ekonomi menguncup dan juga ramai kehilangan pekerjaan. Gambar hiasan: Mohd Effendy Abdul Ghani
Covid-19 menyebabkan ekonomi menguncup dan juga ramai kehilangan pekerjaan. Gambar hiasan: Mohd Effendy Abdul Ghani
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC) menjangkakan lebih banyak peningkatan jumlah pengangguran pada bulan yang akan datang jika negara masih berdepan dengan krisis pandemik Covid-19.

Pemangku Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, ia berikutan lebih banyak sektor pekerjaan bakal terjejas.

“Hampir setahun lebih kita dilanda krisis pandemik Covid-19. Banyak majikan sudah tidak mampu bertahan dalam jangka masa panjang yang secara tidak langsung akan berlaku masalah pembuangan kerja secara berterusan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Mengulas lanjut beliau berkata, dari segi pertumbuhan buruh antarabangsa, setakat ini sudah hampir 25 juta pekerja bakal hilang pekerjaan di seluruh dunia.

Katanya, Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menjangkakan sebanyak 2.4 juta rakyat Malaysia bakal hilang pekerjaan susulan krisis pandemik Covid-19.

“Ada juga yang kembali bekerja tetapi tidak boleh bertahan lama akibat Covid-19 yang berpanjangan. Justeru sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup sekarang,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Effendy menggesa kerajaan supaya merangka pelan pemulihan untuk jangka masa panjang bagi membasmi penularan Covid-19.

“Tidak dinafikan kerajaan berjaya mengurus Covid-19 namun perbezaannya dalam konteks cara mengurus dan membasmi.

Artikel Berkaitan:

“Perancangan ini perlu melibatkan perbincangan daripada beberapa pihak bagi memastikan kadar pengangguran di negara menurun,” ujarnya.

Katanya, kerajaan juga diminta supaya sebarang masalah pembuangan kerja sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Menurutnya, terdapat laporan bahawa, walaupun majikan ada menerima bantuan Program Subsidi Upah, namun masih lagi berlaku masalah pembuangan kerja dalam kalangan pekerja.

“Jadi, MTUC tidak mahu ada majikan yang mengambil kesempatan untuk membuang pekerja dan menjadikan pekerja sebagai mangsa,” katanya.

Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan kadar pengangguran di negara ini meningkat kepada 4.8 peratus pada Disember 2020.

Krisis kesihatan telah memberi impak besar kepada tenaga buruh dan menyebabkan kadar pengangguran mencecah lebih 4.0 peratus berbanding kadar purata 3.0 peratus yang direkodkan dalam tempoh pra-krisis.