Gajet kini macam harga ‘kayangan’

Kelihatan Pelajar Tingkatan Empat, Muhammad Amer Irfan Muhammad Emran mengikuti kelas fizik secara dalam talian melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). - Foto fail Bernama
Kelihatan Pelajar Tingkatan Empat, Muhammad Amer Irfan Muhammad Emran mengikuti kelas fizik secara dalam talian melalui kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR). - Foto fail Bernama
A
A
A

IPOH- Kekurangan stok gajet di kedai selain harganya yang ibarat harga ‘kayangan’ menjadi faktor utama ibu bapa sukar menyediakan kemudahan untuk anak mereka mengikuti kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Seorang ibu yang ditemui, Norazimah Ramli, 33, berkata, telefon bimbit beliau menjadi satu-satunya gajet yang digunakan oleh ketiga-tiga anaknya yang belajar di Tahun Enam, Empat dan Satu.

“Saya berusaha untuk dapatkan sekurang-kurangnya satu tablet untuk mereka belajar PdPR tetapi sukar kerana harganya yang mahal dan saya tidak mampu kerana hanya bekerja sebagai kerani.

“Lagipun tidak banyak pilihan yang ada kini. Kaedah lain untuk mereka belajar adalah menyiapkan kerja sekolah yang diberi guru menerusi aplikasi WhatsApp tetapi kami sendiri tidak dapat ajar apa yang mereka tidak faham seperti Bahasa Arab,” katanya.

Menurutnya, dia mengakui anak-anaknya terpaksa berebut menggunakan telefon bimbit untuk menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh guru.

Perkara sama turut dikongsi Mohd Khairol Nizam Shuhaimi, 33, yang mengakui harga gajet yang kini mencecah ribuan ringgit membuatkan dia melupakan hasrat untuk membeli bagi keperluan dua anaknya.

“Sukar hendak dapatkan gajet yang ikut kemampuan berbanding tahun-tahun lalu. Stok yang ada hanya tinggal gajet dengan harga ‘kayangan’.

“Hendak belikan anak-anak gajet harga murah dalam talian dibimbangi spesifikasinya tidak berkualiti yang boleh menjejaskan pembelajaran. Bagi keluarga berkemampuan, ia tiada masalah tetapi berbeza pula daripada keluarga B40,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden Persatuan Komputer dan Digital (PCDA) Perak, Dicky Liew Yew Seong berkata, isu kekurangan stok gajet sekarang ini bukan sahaja berlaku di Perak, malah di seluruh negara berikutan permintaan tinggi apabila PdPR dilaksanakan dan arahan bekerja dari rumah akibat Covid-19.

“Kita mempunyai 120 ahli dalam persatuan PCDA dan rata-rata mereka memaklumkan stok mereka cepat habis meskipun gajet baharu tiba di kedai.

“Sehingga kini, kami menerima banyak permintaan untuk menyediakan gajet pada harga mampu milik terutama untuk kemudahan belajar,” katanya.

Menurutnya, sudah sampai masa untuk kerajaan menyediakan program yang dapat membantu penggiat industri peranti elektronik dan rakyat.

“Sudah hampir setahun sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, kerajaan perlu menyediakan bantuan atau program untuk membantu rakyat yang kini perlu duduk rumah untuk belajar dan bekerja dengan memberi baucar pembelian atau subsidi,” katanya.