Mampukah keamanan kekal di Libya?

Harapan untuk menyaksikan Libya kembali aman sejak tahun 2011 semakin tinggi apabila kerajaan peralihan sementara negara itu mula dipilih pada Sabtu. - Foto AFP
Harapan untuk menyaksikan Libya kembali aman sejak tahun 2011 semakin tinggi apabila kerajaan peralihan sementara negara itu mula dipilih pada Sabtu. - Foto AFP
A
A
A

LIBYA yang bergolak sejak pemimpinnya, Muammar Gaddafi digulingkan dan dibunuh oleh penduduknya sendiri dalam tunjuk perasaan menentang pemerintahannya kesan daripada kebangkitan Arab Spring yang berlaku pada tahun 2011, kini memasuki fasa baharu keamanan.

Pada Sabtu, sebuah pentadbiran eksekutif sementara dipilih bagi mengetuai negara yang kaya dengan minyak itu sehingga pilihan raya umum diadakan pada Disember tahun ini selepas negara itu terjerumus ke dalam peperangan selama satu dekad.

Sebelum ia ditadbir oleh Perdana Menteri sementara iaitu Abdul Hamid Dbeibah, Libya musnah akibat persaingan untuk merebut kekuasaan sehingga terdapat dua buah kerajaan yang memerintah negara berkenaan.

Perdana Menteri sementara Libya, Abdul Hamid Dbeibah. - Foto Twitter
Perdana Menteri sementara Libya, Abdul Hamid Dbeibah. - Foto Twitter

Dbeibah iaitu seorang jurutera yang berusia 61 tahun dipilih oleh 75 anggota Forum Dialog Politik Libya menjadi Perdana Menteri di bawah payung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pemilihannya dibuat melalui undian di luar Geneva, Switzerland bagi menggantikan kerajaan permuafakatan kebangsaan (GNA).

Proses bagi mencari keamanan di Libya yang mempunyai lebih tujuh juta penduduk bermula sejak November tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan GNA itu disokong oleh PBB sejak tahun 2015 dan beribu pejabat di Tripoli serta mendapat sokongan ketenteraan dari Turki, Itali serta Qatar selain daripada kumpulan-kumpulan militia.

Ia juga disertai oleh saki baki pegawai tentera Libya.

Dalam pada itu, Dewan Perwakilan Libya (HOR) yang disokong Tentera Kebangsaan Libya (LNA) telah melancarkan operasi ketenteraan yang gagal untuk menguasai Tripoli pada tahun 2019.

LNA diketuai oleh Khalifa Haftar iaitu bekas jeneral tentera yang membantu Gaddafi merampas kuasa daripada pemerintah Libya pada tahun 1969 iaitu Raja Idris.

Menurut portal Majlis Hubungan Asing, Haftar pernah dituduh membantu Agensi Perisikan Pusat (CIA) milik Amerika Syarikat (AS) pada tahun 1990an selepas beliau berpecah daripada bersekutu dengan Gaddafi.

LNA menguasai sebahagian besar wilayah timur dan selatan dan bekas jeneral tersebut mendakwa sebahagian timur Libya dikuasai pemerintahan tentera pada April 2020.

Negara-negara yang menyokong LNA ialah Mesir, Perancis, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Rusia.

UAE dikatakan membekalkan dron tentera kepada LNA manakala Rusia menghantar askar-askar upahan yang profesional untuk Tentera Kebangsaan Libya itu.

Pada Januari tahun lalu, ia menutup pengeluaran minyak dan menghentikan eksport sumber utama Libya itu menyebabkan negara berkenaan kerugian lebih AS$4 bilion (RM16.26 bilion).

Dalam pada itu, HOR diwujudkan pada tahun 2014 selepas pilihan raya Parlimen negara tersebut diadakan bagi mengisi 200 kerusi parlimen dan ia kekal wujud sehingga tertubuhnya satu perlembagaan bertulis bagaimanapun Libya pula enggan mengiktiraf GNA.

Menurut BBC, hanya kira-kira 630,000 orang mengundi dalam pilihan raya tersebut berbanding pilihan raya pertama yang didakwa diadakan secara bebas buat pertama kali pada Julai 2012 selepas kematian Gaddafi apabila 2.8 juta orang didaftarkan sebagai pengundi.

Aspek keselamatan dijadikan sebagai alasan yang menyebabkan kadar bilangan pengundi yang rendah itu apabila negara tersebut dipenuhi dengan kejadian pertempuran antara kumpulan-kumpulan bersenjata.

HOR yang berpusat di bandar timur Libya, Tobruk tidak menyokong GNA kerana ia diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa dan dituduh menyokong kumpulan-kumpulan Islam.

Speaker HOR, Aguilah Saleh memilih Haftar untuk mengetuai LNA pada tahun 2014.

Libya mengalami perang saudara dua kali iaitu pada tahun 2011 yang mengakibatkan kira-kira 25,000 orang terbunuh dan dari tahun 2014 hingga 2020 manakala tiada rekod dilaporkan tentang jumlah kematian akibat perang saudara kedua tersebut.

Bagaimanapun, pada Sabtu lalu, satu babak baharu wujud untuk mentadbir Libya secara aman selepas kegagalan satu perjanjian PBB yang mengiktiraf kerajaan GNA yang diketuai oleh Perdana Menteri Libya, Fayez al-Sarraj pada tahun 2015.

Bekas duta Libya ke Greece, Mohammad Younes Menfi dari timur negara itu dipilih mengetuai Majlis Presiden dalam undian yang diadakan oleh 75 anggota delegasi itu di Switzerland.

Seorang penganalisis kanan di Institut Antarabangsa dan hal Ehwal Keselamatan Jerman, Wolfram Lacher berkata kepada AFP bahawa pihak berkuasa sementara itu akan mendapati amat sukar untuk mengawal kewujudan pengaruh-pengaruh politik di timur Libya.

Katanya, pentadbiran sementara itu juga akan menghadapi tentangan di barat Libya.

Felo kanan Majlis Eropah Untuk Hubungan Antarabangsa, Tarek Megerisi berkata, pemilihan tokoh-tokoh untuk mentadbir kerajaan sementara Libya itu didapati tidak berpengalaman untuk memenuhi tuntutan supaya rasuah, golongan elit dan perkhidmatan kerajaan yang lemah di negara tersebut dihapuskan. - Agensi