Bacaan surah al-Mulk seluruh masjid, surau di Perak

Gambar kecil: Mohd Yusop Husin
Gambar kecil: Mohd Yusop Husin
A
A
A

IPOH - Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menyarankan semua masjid dan surau di negeri ini melaksanakan bacaan Surah al-Mulk selepas solat fardu.

Pengarahnya, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, bacaan surah al-Mulk tersebut hendaklah dibaca secara berjemaah diketuai pegawai masjid atau imam bertugas.

Menurutnya, saranan itu boleh dibuat mengikut kesesuaian waktu di masjid dan surau di dalam kariah masing-masing.

"Seperti yang sedia maklum, fadilat dan kelebihan surah al-Mulk dapat menghindarkan pembacanya dari azab kubur dan mendapat syafaat.

"Semoga pelaksanaan amalan pembacaan surah al-Mulk di masjid dan surau akan mengundang kerahmatan serta keberkatan daripada Allah SWT kepada ahli kariah, negeri dan negara amnya," katanya menerusi surat kepada semua pengerusi jawatankuasa kariah masjid dan surau di Perak yang dimaut naik di dalam Facebook jabatan tersebut pada Isnin.

Sementara itu, dalam satu surat berasingan yang dimuat naik dalam Facebook sama, Mohd Yusop turut menyarankan agar bacaan Qunut Nazilah diadakan setiap kali solat Jumaat di semua masjid dan surau yang melaksanakannya.

Katanya, solat Sunat Hajat turut digalakkan untuk diadakan setiap kali selepas solat Jumaat dan salah satu solat fardu.

"Saranan itu bertujuan mendoakan kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia agar pandemik Covid-19 segera berakhir.

Artikel Berkaitan:

"Pelaksanaan semua yang dicadangkan itu perlu dilakukan secara berterusan," kata kenyataan itu.