Lelaki terjun sungai semasa dikejar polis ditemukan meninggal dunia

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemukan dalam Sungai Johor berhampiran Jambatan Semanggar, Kota Tinggi pada Isnin.
Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemukan dalam Sungai Johor berhampiran Jambatan Semanggar, Kota Tinggi pada Isnin.
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang lelaki yang nekad terjun ke dalam Sungai Johor di sini semasa dikejar polis ditemukan sudah meninggal dunia pada Isnin.

Mayat Nenhadi Makmud, 30, ditemukan kira-kira jam 6 petang tersangkut pada batang kayu oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Hussin Zamora berkata, mayat lelaki itu dijumpai pada jarak 50 meter daripada tempat mangsa terjun.

"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang berada di lokasi kejadian. Mayat dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, kejadian itu berlaku pada jam 12.15 tengah hari apabila Pusat Kawalan Polis Daerah Kota Tinggi menerima satu panggilan memaklumkan terdapat kejadian lemas di sungai itu melibatkan seorang lelaki tempatan.

Menurutnya, siasatan mendapati kejadian berlaku semasa pasukan Bahagian Siasatan Jenayah ternampak sebuah lori jenis Isuzu melanggar kenderaan orang awam di Jalan Kota Tinggi–Johor Bahru.

Katanya, polis kemudian mengejar lori tersebut dalam usaha memberhentikannya, namun kenderaan berkenaan ditinggalkan di kawasan jambatan Semanggar, Sungai Johor.

"Kemudian pasukan polis ternampak dua lelaki tempatan keluar dari lori tersebut dan terus nekad terjun ke dalam sungai. Seorang lelaki tempatan tersebut dipercayai lemas akibat arus deras dan seorang lagi berjaya melarikan diri di tebing sungai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, semakan lori yang ditinggalkan tersebut mendapatinya dilaporkan hilang di kawasan Kepong sebelum ini.

"Usaha mengesan seorang lagi rakan mangsa yang berjaya melarikan diri masih dijalankan di tempat kejadian," katanya.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, Penguasa Bomba Al Hasra Mohamed berkata, mayat ditemukan pada kedalaman enam meter di dasar sungai tersebut.

Menurut beliau, seramai 16 anggota dari BBP Kota Tinggi dan BBP Tebrau dibantu PPDA melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR).