1MDB: Ikut arahan atau berhenti kerja

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin budaya kerja di syarikat berkenaan ialah 'ikut arahan atau berhenti' (kerja).

Mohd Hazem Abd Rahman, 49, berkata, ia termasuk arahan daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Saksi pendakwaan ke-10 itu berkata, cara bekerja di sana perlu mengikut arahan dan sekiranya enggan bertindak sedemikian, lebih baik berhenti daripada meneruskan tugas.

"Sama ada anda ikut atau cari jalan keluar dan saya akhirnya meletakkan jawatan di syarikat itu," katanya.

Bagaimanapun ketika ditanya oleh peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sama ada Jho Low pernah mengugut jika arahan yang diberi dibantah, Mohd Hazim berkata, "tidak".

Katanya, Jho Low tidak mengancamnya untuk dipecat daripada 1MDB setelah dia menyuarakan cadangan mengenai pengambil alihan YTL Energy.

Dalam pada itu, Mohd Hazim turut ditanya mengenai emel arahan dihantar oleh Jho Low, yang merujuk Mohd Hazem sebagai 'bos'.

Menurutnya, panggilan berkenaan merupakan perkara biasa, malah beliau mengakui bahawa Jho Low mempunyai sikap gemar memanggil seseorang dengan panggilan bos.

Artikel Berkaitan:

Wan Aizuddin: Normalkah jika Jho Low memanggil anda sebagai bos?

Mohd Hazem: Ia seperti bila kita pergi ke kedai makan mamak, orang akan panggil kita, "bos".

Najib, 68, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya utama, Datuk Seri Gopal Sri Ram manakala peguam mewakili Najib diketuai peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.