SOP bagi sambutan perayaan perlu jelas: MHC

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) menggesa kerajaan memperjelaskan secara bertulis sebelum menguatkuasakan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan sensitiviti budaya menjelang sambutan sesuatu perayaan.

Gabungan itu dalam kenyataan pada Isnin berkata, perlu ada SOP yang konsisten dan boleh diduga untuk sambutan kebudayaan dan agama bagi mengelak kekeliruan dan mengoptimumkan pematuhan SOP bagi membendung penularan pandemik Covid-19.

MHC berkata demikian merujuk kepada SOP bagi sambutan Tahun Baharu Cina yang menimbulkan kekeliruan tidak seperti SOP bagi sambutan Thaipusam tahun ini yang boleh dijadikan contoh baik dalam mengamalkan kebudayaan dan agama masing-masing.

Dalam hal ini, katanya, rakyat tidak perlu menunggu SOP baharu setiap kali menjelang perayaan atau sambutan, apatah lagi wabak Covid-19 telah berlarutan sejak tahun lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, MHC berpendapat pendidikan awam mengenai vaksin Covid-19 perlu disampaikan kepada masyarakat menerusi pemimpin agama dan masyarakat dalam menyangkal maklumat salah, salah faham, teori konspirasi yanag menyemarakkan dogma antivaksin.

“Vaksin bukan senjata magis yang menyelesaikan masalah dengan serta-merta. Oleh itu langkah penjagaan kesihatan awam seperti penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan penggunaan pensanitasi tangan perlu diteruskan selepas program imunisasi Covid-19 bermula,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:Makan besar Tahun Baharu Cina dibenar tidak lebih 15 ahli keluarga

Artikel Berkaitan: