X

Kindly register in order to view this article
!

Pekebun musang king, sawit rugi angkara gajah liar

Pengusaha kebun, Zulkifli Mohd Zain, 58, melihat anak pokok durian yang rosak akibat serangan gajah di Kampung Teladas dekat Air Putih, hari ini. - Foto Bernama
A
A

KEMAMAN - Dua pengusaha kebun yang menanam pelbagai jenis durian termasuk musang king, dan kelapa sawit di Kampung Teladas dekat Air Putih, di sini mengalami kerugian kira-kira RM60,000 selepas tanaman mereka diserang sekumpulan gajah.

Zulkifli Mohd Zain, 58, berkata, dalam kejadian pada awal pagi Sabtu lepas, sebanyak 65 pokok duriannya yang berumur setahun musnah akibat serangan haiwan liar itu.

“Sedih dan kecewa kerana hanya 15 pokok durian sahaja yang masih selamat sedangkan saya dah berhabis dalam RM50,000 untuk kerja-kerja mengurus kebun ini sejak setahun lepas.

“Memang saya tahu gajah sering menceroboh kawasan kebun yang diusahakan penduduk kampung sejak beberapa tahun lalu, namun tak sangka kali ini saya pula yang mengalami nasib sama,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Zulkifli berkata, pagar yang dipasang di sekeliling kebunnya itu juga roboh akibat serangan tersebut, namun beliau bercadang akan menanam semula pokok durian dengan pemasangan pagar elektrik pada masa akan datang bagi mengelak kejadian sama berulang lagi.

Seorang lagi pekebun, Yusof Ahmad, 70, berkata, serangan terbaharu itu adalah serangan kali ketiga pernah dialaminya hingga menyebabkan dia kerugian ribuan ringgit.

“Kali ini, gajah makan umbut dan pucuk lebih 20 pokok kelapa sawit sedangkan saya memang menunggu hasil tanaman ini matang untuk mendapatkan wang belanja, tak sangka pula ia musnah akibat serangan gajah.

“Banyak kali dah gajah datang menyerang, malah pekebun ambil inisiatif sendiri datang ronda pasang unggun api setiap malam untuk pastikan gajah takut untuk ceroboh. Kami harap sangat masalah yang dah lama berlarutan ini dapat diselesaikan segera,” katanya.

Untuk rekod, kali terakhir serangan gajah itu berlaku pada 2 Oktober tahun lalu menyebabkan seramai 30 pekebun di kampung sama yang menanam kelapa sawit dan pisang kerugian lebih RM30,000.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr Abdul Malek Mohd Yusof ketika dihubungi berkata, masalah serangan gajah di kawasan tersebut memang dalam makluman pihaknya.

“Pemantauan sedang dilakukan dan pada masa sama kita berharap mana-mana pihak yang ingin meneroka tanah untuk berkebun, seeloknya meminta pandangan daripada Perhilitan bagi memastikan kawasan itu selamat daripada serangan haiwan liar sekali gus dapat meminimumkan kerugian,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!