Ahli Parlimen perlu bersatu perkasa pentadbiran keadilan syariah

Shamrahayu
Shamrahayu
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz berharap ahli Parlimen terutama yang beragama Islam bersatu hati dalam menyegerakan pemerkasaan pentadbiran keadilan syariah.

Menurut beliau, penambahbaikan kepada pentadbiran keadilan di mahkamah syariah dan RUU 355 atau pindaan kepada Akta 355 adalah satu cara yang difikirkan baik oleh pihak yang berkaitan.

“Sepanjang ingatan saya, ekoran daripada cadangan pindaan kepada Akta 355 tersebut, kerajaan pada masa itu telah menubuhkan tujuh kluster berkaitan dan jawatankuasa khas bagi memperkemas sistem pentadbiran keadilan syariah.

“Tujuan jawatankuasa dan kluster itu ditubuhkan ialah bagi membolehkan usaha pemerkasaan ini dilaksanakan secara holistik atau menyeluruh. Ini kerana penambahbaikan yang tidak sekata ke atas agensi atau aspek berkaitan tidak membolehkan sistem bergerak secara efektif,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya pada Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan sesetengah pihak yang menggesa ahli Parlimen Pas mengemukakan cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai Akta 355.

Dalam pada itu, Shamrahayu berpendapat, tanggungjawab memperkasa mahkamah syariah atau pentadbiran keadilan syariah terletak kepada semua pemimpin tidak mengira parti politik.

Katanya, kerana Islam itu adalah milik semua walaupun tanggungjawab yang lebih besar adalah ke atas semua ahli Parlimen yang memegang jawatan menteri atau timbalan menteri berkaitan agama.

“Kepada ahli Parlimen beragama Islam, berundinglah dengan baik secara bersama dalam hal pentadbiran keadilan Islam dan ambil tanggungjawab secara bersama. Jangan perli-memerli atau menuding jari antara satu sama lain,” katanya.

Artikel Berkaitan: