Johor benarkan solat fardu, Jumaat bersyarat

Tosrin (tengah) menunjukkan dokumen kebenaran melakukan solat fardu, solat Jumaat dan aktiviti di semua masjid serta surau di Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru, pada Isnin.
Tosrin (tengah) menunjukkan dokumen kebenaran melakukan solat fardu, solat Jumaat dan aktiviti di semua masjid serta surau di Pusat Islam Iskandar Johor, Johor Bahru, pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan membenarkan solat fardu, solat Jumaat serta aktiviti agama di semua 814 masjid dan 1,928 surau seluruh negeri itu dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 secara bersyarat.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, kebenaran itu berkuat kuasa pada Selasa (esok) hingga ke satu tarikh yang akan ditentukan Majlis Agama Islam Negeri (MAINJ) setelah mendapat pandangan dan nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, mereka yang dibenarkan solat ialah individu berusia 10 tahun ke atas, termasuk warga emas dengan syarat sihat.

"Seramai 40 jemaah solat fardu dan solat Jumaat dibenar dan digilirkan tidak termasuk pegawai masjid, surau dan ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid serta surau dengan mematuhi penjarakan fizikal," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar Johor di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, katanya, bagi memastikan lebih ramai umat Islam dapat menunaikan solat Jumaat, Sultan Ibrahim memperkenankan kebenaran sementara menunaikan solat Jumaat membabitkan 216 buah surau seluruh negeri Johor,"

Katanya, semua perhimpunan untuk tujuan aktiviti agama di seluruh premis masjid dan surau yang dibenarkan melibatkan tazkirah dan tarhim oleh pegawai masjid dan surau, program membudayakan al-Quran dan as-sunnah, program bacaan surah Yasin serta tahlil.

"Ini termasuk bacaan surah Al-Mulk dan surah Al-Kahfi. Solat jenazah juga dibenarkan dengan kehadiran 40 jemaah termasuk pegawai masjid, surau dan ahli jawatankuasa pengurusan kariah masjid serta surau," katanya.

Beliau berkata, aktiviti mengimarah masjid dan surau seperti kuliah takmir masjid dan surau serta ceramah ditangguhkan tetapi kuliah dan ceramah secara atas talian adalah digalakkan.

Artikel Berkaitan:

Bagi pengurusan nikah, cerai dan rujuk dalam tempoh PKP, beliau berkata, pelaksanaannya bersyarat misalnya majlis akad nikah boleh dilaksanakan di pejabat Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) atau pejabat kadi daerah, namun digalakkan untuk ditangguhkan.

Bagaimanapun, jelasnya, majlis akad nikah tersebut terhad iaitu untuk pasangan pengantin dan wali yang berada dalam daerah sama.

"Pasangan pengantin yang berada dalam daerah sama tetapi wali berada di luar daerah atau negeri adalah dengan menggunakan kaedah jurunikah atau wakalah wali," katanya.

Kehadiran bagi satu majlis akad nikah katanya, tidak melebihi enam orang melibatkan tiga daripada keluarga pengantin dan tiga lagi daripada pihak urus setia.

"Sejak Januari ini, kita menerima 35 permohonan untuk bernikah secara purata dalam setiap hari tetapi terpaksa ditangguhkan. Sepanjang tahun lalu kita menerima 18,000 permohonan untuk bernikah di negeri ini," katanya.

Bagi kursus pra perkahwinan katanya, menggunakan Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan secara kursus melalui kaedah sidang video sahaja dengan maksima 100 peserta.

Pendaftaran cerai pula katanya, boleh dilaksana untuk mendapat sijil cerai sekiranya sudah mendapat perintah pengesahan cerai dari mahkamah syariah manakala pendaftaran rujuk boleh hadir ke pejabat kadi daerah.