Dikompaun gara-gara malas ambil surat rentas daerah

Peniaga sayur dikenakan kompaun RM1,000 selepas gagal mengemukakan surat rentas daerah semasa melalui SJR mengejut yang diadakan oleh IPD Pasir Mas di Jambatan Sultan Ismail Petra, Tendong, Pasir Mas.
Peniaga sayur dikenakan kompaun RM1,000 selepas gagal mengemukakan surat rentas daerah semasa melalui SJR mengejut yang diadakan oleh IPD Pasir Mas di Jambatan Sultan Ismail Petra, Tendong, Pasir Mas.
A
A
A

PASIR MAS - Sikap ambil mudah seorang peniaga sayur yang memberi alasan malas memohon surat rentas daerah dari polis untuk urusan kerja semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 mengundang padah apabila dia dikompaun selepas di dapati melanggar peraturan Prosedur Operasi Standart (SOP).

Lelaki berusia 27 tahun itu dikompaun polis semasa melalui Sekatan Jalan Raya (SJR) yang diadakan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas secara mengejut di Jambatan Sultan Ismail Petra, Tendong pada Isnin.

Lelaki berkenaan ketika ditemui pemberita berkata, dia menerima perkara itu dengan hati terbuka selepas dikompaun polis.

"Memang salah saya, sebab ambil mudah perkara ini dengan tidak membuat permohonan bagi mendapatkan surat rentas negeri," katanya.

Menurutnya, dia akan terus ke balai polis berhampiran untuk mendapatkan permohonan surat tersebut.

Katanya, dia yang sering menggunakan laluan itu untuk ke tempat kerja di pasar borong Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong tidak menyangka polis akan membuat SJR di kawasan berkenaan pada Isnin.

"Nak patah balik dah tak boleh sebab atas jambatan. Jadi terpaksalah lalu juga," katanya.

Sementara itu, SJR 'mengejut' di sempadan daerah di negeri ini akan terus dilaksanakan sepanjang fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sharif berkata, SJR bertujuan melihat tahap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) masyarakat.

Menurutnya, sekatan berubah lokasi bagi mengelakkan operasi itu dikesan oleh orang ramai

"Bagaimanapun, SJR di lokasi statik tetap dilaksanakan seperti biasa," katanya selepas meninjau SJR yang dilakukan secara mengejut di Jambatan Sultan Ismail Petra, Tendong di sini pada Isnin.

Katanya, SJR bergerak itu bukan bertujuan menakut-nakutkan orang ramai tetapi antara usaha menggalakkan pematuhan SOP PKP 2.0.

Mohamad Roy berkata, sepanjang tempoh PKP 2.0 masih ada masyarakat yang mengambil mudah dengan tidak memohon surat pelepasan untuk rentas daerah.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai mendapatkan surat kebenaran rentas daerah bagi mengelakkan dikompaun

"Sejak PKP 2.0 bermula pada 16 Januari hingga hari ini sebanyak 159 kompaun telah dikeluarkan berkaitan perlanggaran SOP," katanya.