Gesa dedah siasatan, kelulusan ladang durian di Gunung Inas

Gambar persekitaran Gunung Inas yang dirakam menerusi video tular mendakwa akan dibangunkan ladang terbesar durian Musang King. Gambar kecil: Mohideen Abdul Kader
Gambar persekitaran Gunung Inas yang dirakam menerusi video tular mendakwa akan dibangunkan ladang terbesar durian Musang King. Gambar kecil: Mohideen Abdul Kader
A
A
A

ALOR SETAR - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Kedah mendedahkan hasil siasatan berkaitan kelulusan projek ladang durian di Gunung Inas, Baling kepada umum.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, rakyat berhak tahu perkara sebenar termasuk punca kawasan itu dibangunkan oleh pemaju yang melanggar perjanjian.

Menurutnya, kerajaan Kedah juga perlu menyiasat kemungkinan kaitan projek berkenaan dengan banjir lumpur di kampung berdekatan dan jika terbukti pihak terlibat perlu membayar ganti rugi kerana menjadi penyebab merosakkan harta benda penduduk.

"Dari awal lagi gunung itu sepatutnya tidak dieksploitasi. Kami berulang kali menegaskan hutan berperanan penting untuk kestabilan ekologi dan kualiti alam sekitar.

"Hutan dan bukit aset yang tiada nilainya untuk memelihara kualiti hidup rakyat. Nilai ekonomi dari hutan seperti di Gunung Inas tidak boleh diganti dengan ladang durian," katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Projek ladang durian musang king di kawasan Gunung Inas mendapat perhatian ramai susulan video tular di media sosial sejak Sabtu lalu.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan kerajaan negeri sudah mengarahkan projek itu dihentikan pada Julai tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kedah siasat dakwaan ladang musang king terbesar di Gunung Inas

Kerajaan negeri juga telah meminta laporan penuh keadaan semasa di kawasan terlibat daripada semua agensi bagi menyiasat dakwaan kewujudan ladang durian terbesar dunia itu seperti didakwa.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, walaupun video tular itu dikatakan video lama namun dakwaan kewujudan ladang durian seluas 12,140 hektar seperti dipaparkan itu telah memberi impak negatif.

"Kami maklum mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah yang sudah mengarahkan kerja menanam pokok durian dihentikan namun arahan awal supaya pemilik ladang itu menanam pokok liputan tanah dan pokok balak tidak dipantau.

Berdasarkan laporan Disember 2019, pemilik telah mendapat kelulusan EIA (impak alam sekitar) dan Jabatan Perhutanan Negeri pada 2013, ia sesuatu yang pelik kerana masyarakat setempat tidak dimaklumkan berhubung kelulusan projek tersebut," katanya.

Mohideen turut membangkitkan semula kejadian banjir di Kupang, Baling pada 2019 yang didakwa akibat projek ladang durian yang tidak memenuhi syarat pembalakan, iaitu penanaman semula anak pokok balak dan bukan durian.

"Kegagalan menanam pokok hutan sebagai ganti kepada hutan yang diluluskan untuk balak adalah kegagalan di pihak penguatkuasaan.

Walaupun dikatakan video lama, kesan negatif akibat kerja tanah untuk pembangunan ladang itu dirasai sekarang dan kesannya parah. Kami ingin mengingatkan kerosakan alam sekitar yang menjejaskan kualiti hidup penduduk tidak boleh dipandang ringan," katanya.

Pihaknya turut mempersoalkan tindakan kerajaan ketika (2014) melaksanakan projek Ladang Rakyat dengan penanaman getah seluas 400 hektar di tanah itu tetapi selebihnya tidak diambil semula oleh kerajaan negeri bagi menyekat disalahgunakan.

“Tanah bertukar tangan apabila berubah kerajaan tidak harus menjadi alasan pihak berkuasa untuk tidak bertindak apabila pemaju gagal mematuhi syarat perjanjian antara kerajaan negeri dan pemaju,” katanya.

Mohideen berharap kerajaan negeri lebih serius menangani kesan aktiviti pembalakan dan pemusnahan bukit berskala besar yang menjejaskan kualiti alam sekitar.