Exco kesal ahli majlis MBSJ diugut

Sze Han (dua dari kanan) ketika melakukan tinjauan di lokasi sampah haram itu di Jalan TK 5/27 Taman Mawar pada Isnin.
Sze Han (dua dari kanan) ketika melakukan tinjauan di lokasi sampah haram itu di Jalan TK 5/27 Taman Mawar pada Isnin.
A
A
A

PUCHONG - Tindakan pihak yang membuang sampah haram di tepi Sungai Klang mengugut seorang Ahli Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) baru-baru ini diselar Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Negeri Selangor, Ng Sze Han.

Sze Han berkata, insiden terbabit tidak sepatutnya berlaku dan beliau kesal dengan perbuatan pihak tidak bertanggungjawab itu.

Menurutnya, ahli majlis berkenaan, Kenneth Sam Saminathan hanya menjalankan tugas dan tanggungjawab untuk membantu menyelesaikan masalah di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah seliaanya.

“Saya dimaklumkan beliau (Kenneth) yang merupakan ahli majlis baharu dilantik sejak 1 Januari lalu diugut kerana mengambil tindakan terhadap kes pembuangan sampah haram di tepi Sungai Klang berhampiran Taman Mawar Seksyen 5 Kinrara.

“Beliau (Kenneth) diugut dan diminta tidak masuk ke kawasan itu (lokasi pembuangan sampah haram) serta tidak masuk campur hal di kawasan itu.

“Saya kesal kerana situasi ini berlaku, sepatutnya tak boleh berlaku kerana ahli majlis hanya jalankan tugas membantu kerajaan negeri dan MBSJ menjaga serta menyelesaikan masalah di kawasan itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang melakukan tinjauan di lokasi sampah haram itu di Jalan TK 5/27 Taman Mawar di sini pada Isnin memaklumkan laporan polis sudah dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan berhubung insiden itu.

Sze Han sebelum itu berkata, kawasan (sampah haram) itu pernah dipagar Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dua tahun lalu selepas didapati menjadi lokasi pembuangan sampah.

Artikel Berkaitan:

Namun katanya, kunci pagar tersebut dipotong pihak tidak bertanggungjawab dan aktiviti pembuangan sampah kembali berulang.

“Selepas tindakan diambil dua minggu lalu, tiada lagi aktiviti pembuangan sampah, namun lokasi itu penuh dengan sampah binaan yang dibuang secara terus ke dalam sungai,” katanya.