Dana maahad tahfiz berkurangan

Pelajar tidak dibenarkan keluar manakala ibu bapa juga tidak dibenarkan melawat bagi mematuhi SOP ditetapkan.
Pelajar tidak dibenarkan keluar manakala ibu bapa juga tidak dibenarkan melawat bagi mematuhi SOP ditetapkan.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Biarpun sumbangan yang diterima Maahad Tahfiz Intan berkurangan kira-kira 50 peratus dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun pengajian al-Quran tetap diteruskan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Pengerusi Maahad Tahfiz Intan, Mohd Idrus Ahmad berkata, ia bagi memastikan setiap pelajar tidak ketinggalan serta menghabiskan pengajian al-Quran, Syariah, akademik dan kemahiran sokongan yang diikuti.

Mohd Idrus
Mohd Idrus

Menurutnya, lebih 40 pelajar berusia 13 hingga 18 tahun dari seluruh negara yang berada di pusat tahfiz di Sungai Layar itu mengambil keputusan meneruskan pengajian memandangkan telah berada di pusat berkenaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan tahun ini.

"Mereka terpaksa mengikuti pembelajaran secara normal baharu dengan kawalan SOP ketat bagi mengelakkan penularan Covid-19.

"Antara kawalan ketat dan peraturan tambahan termasuk tidak membenarkan pergerakan keluar masuk terutama membabitkan ibu bapa pelajar mahupun tetamu.

"Kita melarang ibu bapa untuk melakukan lawatan kecuali sekiranya berlaku kecemasan, begitu juga dengan kehadiran pelawat luar tidak dibenarkan masuk ke kawasan premis tanpa kebenaran," katanya.

Selain itu, Mohd Idrus berkata, proses pembelajaran halaqah dilaksanakan dalam kumpulan kecil bagi mematuhi penjarakan fizikal.

Artikel Berkaitan:

"Tiada lagi aktiviti 'outdoor' pelajar seperti bersukan atau menghadiri majlis jemputan tertentu sebaliknya jika ada pihak berhajat menganjurkan bacaan Yasin, tahlil dan lain-lain, boleh dibuat di sini," katanya.

Mohd Idrus berkata, antara kekangan yang dihadapi ialah sumbangan dari dermawan berkurangan kira-kira 50 peratus selain kutipan dana oleh tenaga pengajar yang memenuhi jemputan bagi mengisi tabung tahfiz juga tidak dapat dilakukan.

"Begitu juga dengan sumbangan pelbagai pihak yang lazimnya menghantar bekalan beras, minyak dan gula ke pusat tahfiz, tidak lagi dibenarkan berbuat demikian sepanjang PKP," jelasnya.

Beliau berkata, sumbangan diperlukan bagi meneruskan pengajian sekaligus melahirkan generasi Al-Quran sebagai pewaris negara.

Bagaimanapun, katanya, kekangan itu bukanlah satu halangan malah menguatkan lagi semangat untuk mereka dalam memperjuangkan syiar Islam.

Menurut beliau, Maahad Tahfiz Intan berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Negeri Kedah, Pertubuhan Hal Ehwal Sekolah Agama Negeri Kedah (HESA) dan Persatuan Maahad Tahfiz Malaysia.

"Kami juga adalah ejen sah Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di mana individu atau syarikat yang membayar zakat dengan kami boleh memohon pelepasan cukai dari Lembaga Hasil Dalam Negeri," katanya.

Dalam pada itu, katanya, biarpun hanya melakukan pergerakan dalam kawasan tahfiz, namun mereka bersedia membantu melaksanakan khidmat bacaan tahlil, solat hajat dan khatam Al-Quran bagi mereka yang berhajat.

Orang ramai yang ingin membantu, boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank bernombor 5521 8950 7087 atau Bank Islam bernombor 0211 401 0000 723 atas nama Maahad Tahfiz Intan.