Kadar kebolehjangkitan Covid-19 di Melaka dijangka turun

Rahmad menunjukkan carta kes yang direkodkan di negeri ini ketika sidang akhbar di Kompleks Japerun Ayer Molek, Melaka pada Isnin.
Rahmad menunjukkan carta kes yang direkodkan di negeri ini ketika sidang akhbar di Kompleks Japerun Ayer Molek, Melaka pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 di negeri ini dijangka menurun dalam tempoh empat hari lagi berbanding kadar 1.7 yang direkodkan pada Ahad iaitu yang tertinggi di negara ini.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, peningkatan Rt itu berikutan sebanyak 80 peratus kes positif membabitkan Kluster Industri Serkam dan kadar Rt 10.7 direkodkan Kluster Tembok Sungai Udang.

Beliau berkata, kadar Rt tidak mustahil dapat diturunkan sekiranya 16 kluster yang masih aktif termasuk Kluster Industri Serkam dan Kluster Tembok Sungai Udang dapat dicegah daripada terus menular dan berjangkit kepada individu lain, selain peningkatan kadar kesembuhan.

Menurutnya, kadar Rt 1.17 yang direkodkan pada Ahad menggambarkan bacaan nisbah sebanyak 100 kes positif yang cenderung menjangkiti 117 orang di negeri ini sekiranya tidak dicegah.

"Semalam (Ahad) sahaja masih terdapat lebih 200 kes kumulatif Kluster Industri Serkam dan telah mencecah kepada 800 orang. Kita jangkakan akan ada pengurangan kes pada minggu ini.

"Sebenarnya Melaka pernah merekodkan kes tertinggi di negara iaitu Rt 1.36 pada 24 Januari lalu dan pada 3 Februari lalu, Rt harian di Melaka pernah merekodkan terendah iaitu 0.96," katanya pada sidang akhbar di Kompleks Japerun Ayer Molek di sini pada Isnin.

Pada Ahad, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan bahawa Melaka mencatatkan kadar Rt Covid-19 harian tertinggi negara ini iaitu pada 1.17.

Sementara itu, Rahmad berkata, rakyat di negeri ini perlu sentiasa berwaspada dengan kerap mencuci tangan dan memakai pelitup sebagai langkah pencegahan, selain keluar apabila perlu sahaja.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beliau juga mengingatkan rakyat Melaka agar mengelakkan berjabat tangan dalam keadaan pandemik Covid-19 masih belum reda.

"Saya menyeru semua rakyat di negeri ini terutamanya mereka yang bekerja tak kira di pejabat atau di lapangan, mestilah terus patuh prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

"Kalau kita tengok situasi di Melaka buat masa ini, hampir keseluruhan negeri ini mukimnya berada dalam zon merah," katanya.

Sementara itu, kira-kita 10 peratus sahaja pesakit Covid-19 di negeri ini bersetuju untuk menandatangani surat aku janji mendedahkan butiran peribadi mereka.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Datuk Rahmad Mariman berkata, bilangan itu menunjukkan hanya sedikit sahaja yang bersedia dan pihaknya tidak dapat memberi serta berkongsi maklumat kepada pihak lain seperti polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandangkan ia tertakluk kepada Akta Kerahsiaan Pesakit.

Menurutnya, disebabkan itu timbul beberapa isu termasuk masalah dalam pemantauan dan penyampaian sumbangan kit makanan kepada mereka yang menjalani kuarantin di rumah.

"Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) telah tampil dengan cadangan supaya pesakit menandatangani aku janji yang namanya boleh didedahkan atau diberi kepada agensi lain.

"Namun malangnya, ramai yang enggan tandatangan sekali gus menyukarkan pihak lain untuk membantu seperti menyalurkan bantuan dan sebagainya," katanya ketika ditemui di Kompleks Japarun Ayer Molek pada Isnin.