Suami isteri antara lima ditahan seludup minyak petrol

Tong berisi cecair dipercayai minyak petrol ditemui di dalam tiga buah kenderaan semasa serbuan dilakukan pada jam 5 pagi itu.
Tong berisi cecair dipercayai minyak petrol ditemui di dalam tiga buah kenderaan semasa serbuan dilakukan pada jam 5 pagi itu.
A
A
A

JELI - Sepasang suami isteri antara lima individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah stesen minyak di Batu Melintang, di sini pada awal pagi Sabtu kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak petrol.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Ariffin berkata, dalam serbuan pada jam 5 pagi itu, pasukan peronda Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membuat rondaan telah mendapati tiga buah kenderaan berada di stesen minyak berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Ariffin
Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Ariffin

"Ketika serbuan dilakukan, didapati empat lelaki dan seorang perempuan berada bersama tiga kenderaan tersebut, termasuk salah seorang adalah pengurus stesen minyak berkenaan. Hasil siasatan awal menemui 59 tong berisi cecair minyak petrol sebanyak kira-kira 1,740 liter bernilai RM3,358 yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram di kawasan Jeddok.

"Hasil siasatan awal mendapati minyak tersebut ialah untuk pasaran negara jiran dengan penawaran harga hampir sekali ganda. Suspek yang ditahan rata-rata berumur lingkungan 30 hingga 35 tahun," katanya kepada pemberita dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli di sini pada Isnin.

Menurutnya, kesemua tangkapan diserahkan kepada KPDNHEP untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Perkara 12(A), Peraturan-Peraturan Kawalan 1974 atas kesalahan membekalkan barang kawalan ke dalam bekas atau tangki selain tangki asal kenderaan.

Ahmad berkata, empat suspek yang masing-masing beralamat di Tanah Merah juga dikompaun di bawah Peraturan 4, Peraturan-Peraturan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 2021 atas kesalahan merentas daerah tanpa kebenaran daripada pihak polis.

"Satu kompaun pula dikeluarkan kepada pengurus stesen di bawah Peraturan 15, Peraturan-Peraturan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit 2021 atas kesalahan menjalankan operasi stesen minyak melebihi tempoh masa dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, tiga daripada suspek berkenaan dikenakan saman iaitu dua saman di bawah Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan atas kesalahan tiada lesen memandu manakala tiga saman pula dikeluarkan di bawah Seksyen 15(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan tiada lesen kenderaan motor dan tiga saman lagi di bawah Seksyen 90(1) Akta yang sama atas kesalahan tiada perlindungan insurans," katanya.