Prihatin Mart akan diperluas ke seluruh negara

Rosol (dua dari kanan) bertanya khabar seorang warga emas yang datang memberi barang keperluan di Prihatin Mart.
Rosol (dua dari kanan) bertanya khabar seorang warga emas yang datang memberi barang keperluan di Prihatin Mart.
A
A
A

HULU TERENGGANU – Selepas mendapat permintaan ramai, kedai runcit bergerak, Prihatin Mart yang dilancarkan pada 1 Februari lalu di Kuala Telemong akan diperluaskan ke seluruh negara dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, buat permulaan program itu akan digerakkan ke Melaka sebelum disusuli di negeri lain.

“Kita menerima sambutan yang baik daripada seluruh negara. Antara negeri yang berminat adalah Melaka, Johor, Perak, Selangor, Negeri Sembilan yang mahu Prihatin Mart diadakan di kawasan mereka.

"Memang banyak permohonan tapi kita ada kekangan kerana tidak mempunyai lori bergerak yang banyak.

"Bagaimanapun, kita akan fikir cara dan cari alternatif terbaik untuk memenuhi permintaan ini," katanya ketika melawat jualan Kedai Runcit Bergerak Prihatin Mart di Dataran Kampung Pela, Ajil pada Isnin.

Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu mencetuskan idea Prihatin Mart untuk membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat terutama mereka yang terkesan dan terjejas akibat pandemik Covid-19 dan golongan B40.

Ia diadakan secara bergilir di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekitar Parlimen Hulu Terengganu dengan menawarkan potongan harga sebanyak 30 peratus termasuk barangan kawalan.

Prihatin Mart menawarkan 91 jenis barangan keperluan seperti gula, beras, minyak masak, susu pekat, tepung, bihun, minuman berperisa dan bawang pada harga patut lebih murah dan kompetitif ke arah menangani kos sara hidup rakyat.

Artikel Berkaitan:

Menurut Rosol, kerajaan berhasrat menjadikan Prihatin Mart sebagai salah satu program di bawah KPDNHEP dalam usaha membantu meringankan beban dihadapi masyarakat terutama dalam tempoh pandemik ini.

Sehubungan itu, beliau berharap ia dapat direalisasikan dalam masa terdekat supaya lebih ramai rakyat dapat dibantu.

“Barangan makanan asas yang dijual sehingga 30 peratus lebih murah daripada pasaran menyebabkan program ini mendapat sambutan yang menggalakkan,” katanya.