Hampir 73,000 menganggur sehingga Disember 2020

Statitistik kadar pengangguran di Malaysia setakat Disember 2020. - Foto Ihsan Jabatan Perangkaan Malaysia ( Dr Mohd Uzir Mahidin)
Statitistik kadar pengangguran di Malaysia setakat Disember 2020. - Foto Ihsan Jabatan Perangkaan Malaysia ( Dr Mohd Uzir Mahidin)
A
A
A

PUTRAJAYA – Jabatan Perangkaan Malaysia melaporkan kadar pengangguran di negara ini meningkat kepada 4.8 peratus atau 772.9 ribu orang pada Disember 2020.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, susulan pembukaan semula ekonomi menjelang akhir tahun 2020, bilangan penduduk bekerja meningkat sedikit berbanding bulan-bulan sebelumnya.

Menurutnya, walaupun bilangan kes baharu Covid-19 melebihi purata 1,500 kes sehari pada bulan terakhir 2020, namun aktiviti ekonomi masih dibenarkan untuk beroperasi dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Justeru, bilangan penduduk bekerja pada Disember 2020 meningkat 0.1 peratus bulan ke bulan atau bersamaan dengan 19.3 ribu orang kepada 15.22 juta orang setelah mencatatkan penurunan marginal pada bulan sebelumnya.

“Nisbah guna tenaga kepada penduduk yang menunjukkan kemampuan ekonomi untuk mewujudkan pekerjaan kekal pada 65.1 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengikut sektor ekonomi, kata Mohd Uzir, penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus mencatatkan trend yang semakin meningkat terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; kesihatan kemanusiaan dan kerja sosial serta maklumat dan komunikasi serta pendidikan.

Bagaimanapun, ujar beliau, guna tenaga dalam industri berkaitan pelancongan seperti penginapan dan perkhidmatan makanan; pengangkutan dan penyimpanan serta kesenian, hiburan dan rekreasi terus menurun yang mencerminkan kesan pandemik kepada industri tersebut.

“Guna tenaga dalam sektor pembuatan terus merekodkan pertumbuhan positif pada Disember 2020, manakala, sektor pertanian dan perlombongan dan pengkuarian kekal dalam trend negatif bagi bulan kelima. Sektor pembinaan turut mencatatkan penurunan bulan ke bulan.

Artikel Berkaitan:

“Dari segi penduduk bekerja mengikut taraf pekerjaan, kategori pekerja yang merangkumi 77.6 peratus daripada jumlah guna tenaga meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 11.81 juta orang berbanding bulan sebelumnya.

“Sementara itu, kategori bekerja sendiri yang merangkumi 15.8 peratus penduduk bekerja, terus mencatatkan pengurangan bagi bulan ketiga sebanyak 0.6 peratus kepada 2.4 juta orang pada Disember 2020.

“Kumpulan ini terdiri daripada penerima gaji harian yang bekerja di pasar tani, pasar malam dan gerai makanan; freelancers; serta pekebun kecil,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Uzir berkata, keadaan pasaran buruh pada Disember 2020 yang masih dipengaruhi krisis kesihatan dan kesan ekonomi telah memperlahankan momentum pemulihan pasaran buruh.

“Oleh itu, pasaran buruh pada Disember kekal kompetitif dengan bilangan tenaga buruh meningkat seramai lebih 27 ribu orang kepada 15.99 juta orang.

“Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) pada Disember adalah pada 68.4 peratus,” jelasnya.

Mohd Uzir berkata, bagi suku keempat 2020 pula, keadaan pasaran buruh bertambah baik susulan pembukaan semula ekonomi.

Katanya, keadaan pasaran buruh bertambah baik secara beransur-ansur dengan tenaga buruh dan guna tenaga terus meningkat berbanding suku sebelumnya, masing-masing mencatatkan 15.92 juta orang dan 15.16 juta orang.

“Sementara itu, bilangan penganggur meningkat kepada 760.7 ribu orang dengan kadar pengangguran pada 4.8 peratus” katanya.

Bagi tahun penuh 2020 pula, tambah Mohd Uzir, kadar pengangguran meningkat kepada 4.5 peratus, kadar tertinggi yang dicatatkan sejak 1993 (4.1 peratus).

“Sepanjang tahun 2020, berdasarkan data purata suku tahunan, KPTB pada tahun 2020 menurun 0.3 mata peratus kepada 68.4 peratus (2019: 68.7 peratus).

“Dalam tempoh sama, bilangan penduduk bekerja menurun 0.2 peratus kepada 15.1 juta orang. Penurunan kecil ini disebabkan oleh ketidaktentuan dalam pasaran buruh susulan krisis kesihatan dan ekonomi pada tahun ini,” katanya

Tambahnya, krisis kesihatan telah memberi impak besar kepada tenaga buruh dan menyebabkan kadar pengangguran mencecah lebih 4.0 peratus berbanding kadar purata 3.0 peratus yang direkodkan dalam tempoh pra-krisis.

“Dijangkakan pasaran buruh Malaysia akan kekal berada dalam situasi yang mencabar pada awal tahun 2021, namun dengan pelbagai bantuan dan inisiatif yang diperkenalkan kerajaan akan dapat membantu mengurangkan impak pandemik terhadap pasaran buruh,” katanya.