X

Kindly register in order to view this article
!

Bukan kes langgar lari

Tangkap layar video yang tular didakwa kes langgar lari.
A
A

IPOH - Kemalangan antara sebuah kereta dan motosikal yang videonya tular di media sosial sejak Sabtu lalu bukan kes langgar lari seperti didakwa.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pemandu kereta terlibat telah membuat laporan polis pada hari sama kejadian berlaku pada Khamis lepas.

Menurutnya, kemalangan di Jalan Tun Terang Kampung Manjoi itu berlaku apabila kereta jenis Hyundai Sonata dipandu wanita berusia 31 tahun hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki warga emas.

"Pelanggaran itu mengakibatkan lelaki berusia 65 tahun terbabit mengalami patah kaki kanan.

"Pemandu kereta pada mulanya meneruskan perjalanan, namun kembali ke tempat kejadian dan sebaik mendapati orang ramai berkumpul di situ, dia terus ke balai polis untuk membuat laporan," katanya.

Beliau berkata, polis telah merakam percakapan pemandu wanita itu manakala mangsa masih menerima rawatan lanjut di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Video berdurasi 21 saat yang diperoleh melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu tular memaparkan seorang penunggang motosikal melambung dan tercampak selepas bertembung dengan sebuah kereta.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!