16 remaja tengah lalok ditahan

Kesemua remaja ditahan untuk siasatan lanjut.
Kesemua remaja ditahan untuk siasatan lanjut.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seramai 16 individu termasuk lima di bawah umur ditahan ketika sedang berhibur dalam parti liar di sebuah apartmen yang dijadikan inap desa di Jalan Assumption di sini, awal pagi Isnin.

Ketika serbuan pada jam 1.30 pagi itu kesemua remaja terbabit sedang dalam keadaan lalok manakala kediaman berkenaan didapati diubahsuai untuk tujuan berhibur.

Keadaan di apartmen itu dipasang muzik dengan kuat selain penggunaan lampu berwarna warni seolah-olah berada di dalam pusat hiburan sebenar.

Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua mereka berusia antara 15 hingga 21 tahun terdiri daripada sembilan lelaki dan tujuh wanita.

"Semua remaja terbabit dalam keadaan lalok dipercayai telah mengambil dadah. Siasatan awal mendapati, mereka menyewa apartment tersebut selama tiga hari dua malam dengan bayaran sewa RM360 untuk berhibur.

"Siasatan mendapati hanya seorang sahaja masih bersekolah manakala yang lain mengaku bekerja sendiri, operator kilang, pekerja kedai telefon bimbit dan ada yang tidak bekerja," katanya ketika ditemui Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (IPDSPU) pada Isnin.

Noorzainy berkata, mereka memilih apartmen tersebut untuk berhibur bagi mengaburi mata pihak berkuasa ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kita merampas pelbagai jenis dadah antaranya ketamin dan syabu, alat menghisap dadah, unit lampu LED, mikrofon serta pembesar suara.

Artikel Berkaitan:

"Ujian air kencing mendapati 15 daripada mereka termasuk seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang masih sekolah positif dadah. Sementara itu, tiga daripada remaja lelaki tersebut mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah serta dadah," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati, kesemua mereka mengumpul wang untuk membayar sewa inap desa selain membeli dadah untuk berhibur di situ selama tiga hari.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Seksyen 15(1)(a) serta 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Serbuan dilakukan sepasukan polis IPDSPU ketika sedang berhibur dalam parti liar di sebuah inap desa di Jalan Assumption di sini, awal pagi Isnin.