Polis Selangor tumpas sindiket edar dadah

Antara pek dipercayai berisi dadah yang dirampas dalam serbuan yang dijalankan
Antara pek dipercayai berisi dadah yang dirampas dalam serbuan yang dijalankan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Polis Selangor berjaya menumpaskan sindiket edar dadah di sekitar Lembah Klang dengan tertangkapnya empat individu dalam serbuan di beberapa lokasi sekitar Selangor dan Kuala Lumpur bersama rampasan dadah bernilai lebih RM900,000 pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, tangkapan itu melibatkan dua warga tempatan serta dua warga asing berusia dari 44 tahun hingga 60 tahun di Puchong, Selangor serta Kuchai, Kuala Lumpur.

"Antara yang dirampas adalah dadah jenis syabu seberat 13.39 kilogram (kg) dalam 13 bungkusan teh Cina dan 13 bungkusan pil ecstasy dari sebuah negara jiran di utara Semenanjung Malaysia selain 10 peket plastik heroin seberat 4.4 kg," katanya dalam sidang akhbar secara dalam talian pada Isnin.

Menurut Arjunaidi, sindiket pengedaran dadah itu dipercayai bergiat aktif sejak November 2019.

"Siasatan awal mendapati bekalan dadah diperoleh dari negara jiran dan melibatkan pasaran sekitar Lembah Kelang.

"Selain dadah, pihak polis turut menyita dua buah kenderaan buah kereta jenis Proton Waja dan Toyota Altis bernilai RM91,000 dan nilai keseluruhan rampasan dadah dianggarkan RM900,750," katanya.

Menurutnya, hasil ujian saringan yang dijalankan mendapati dua daripada empat suspek yang ditahan positif dadah jenis Methamphetamine manakala dua suspek lagi positif syabu dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

"Kesemua suspek direman sehingga 10 Februari. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Siasatan diteruskan bagi mengesan rangkaian sindiket pengedaran dadah berkenaan," kata beliau.

Artikel Berkaitan: