Tindakan kompaun hanya kepada mereka langgar SOP

Gambar notis kompaun ke atas individu terlibat yang tersebar di laman Sosial Facebook sejak Sabtu. Gambar kecil: Mohamad Noor Yusof Ali
Gambar notis kompaun ke atas individu terlibat yang tersebar di laman Sosial Facebook sejak Sabtu. Gambar kecil: Mohamad Noor Yusof Ali
A
A
A

KUANTAN - Polis daerah Kuantan menafikan pihaknya mengenakan tindakan kompaun ke atas seorang penghantar barang walaupun telah mengemukakan permit penjaja beredar (permit COD) yang dikeluarkan pihak Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) seperti yang tular di laman sosial sejak Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, tindakan terhadap individu itu diambil selepas dia didapati melanggar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 atas kesalahan tidak membawa bersama permit tersebut.

Menurutnya, individu tersebut telah diperiksa dalam sekatan jalan raya di hadapan Pondok Polis Permatang Badak pada Sabtu dan didapati hanya menunjukkan salinan dokumen itu di dalam telefon bimbit.

"Individu itu juga melakukan kesalahan membawa penumpang (pekerja) berlainan alamat rumah dan tiada surat kebenaran pergerakan dari pihak polis secara sah.

"Justeru dakwaan mengatakan pihak polis menganiaya masyarakat atas tindakan itu sebagaimana yang disebarkan seorang pemilik akaun Facebook tidak benar sama sekali," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Mohamad Noor berkata, beliau kesal dengan tindakan individu tersebut yang amat tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan situasi kelam-kabut dalam kalangan penduduk daerah ini.

"Penyebaran berita yang tidak betul berkaitan arahan PKP 2.0 di daerah ini berkaitan dengan permit COD itu amat dikesali.

"Pihak polis bertindak sebagai pelaksana dan penguat kuasa undang-undang bagi memastikan SOP PKP serta arahan-arahan lain berkaitan perintah itu terus dipatuhi bagi mengekang wabak Covid-19 di daerah Kuantan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, berdasarkan surat pemakluman pihak MPK berkaitan permit penghantaran semasa PKP, sebanyak 200 permit COD musim PKP 2.0 telah dikeluarkan, manakala permit COD musim PKP 1.0 juga masih terpakai.

Justeru beliau menasihatkan orang ramai terutama warga Kuantan supaya terus mematuhi SOP Covid-19 yang telah dikeluarkan.

"Dapatkan maklumat yang tepat dan sahih daripada pihak berkuasa serta tidak membuat andaian serta spekulasi sendiri.

"Jangan berkongsi atau menyebarkan apa saja maklumat yang belum sahih bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Sementara itu, Ketua Seksyen Perhubungan Awam dan Korporat MPK, Norkamawati Kamal berkata, permohonan untuk permit penghantaran itu masih dibuka.

Menurutnya, MPK akan terima borang permohonan secara 'drop by' untuk permohonan baharu di pondok kawalan di Kompleks Ibu Pejabat MPK mulai Isnin memandangkan urusan kaunter ditangguhkan ketika ini.

"Pemohon perlu pastikan dokumen yang lengkap diisikan di dalam sampul yang disediakan dan mereka perlu menyerahkannya kembali berserta bayaran RM12 ke kotak khas yang disediakan pondok kawalan itu.

"Setiap permohonan akan diproses dan bagi pemohon yang berjaya mereka akan dihubungi untuk mengambil permit itu di lokasi sama," katanya.

Katanya, dokumen yang diperlukan bagi permohonan permit itu termasuk salinan kad pengenalan, nombor telefon, salinan lesen memandu, nombor kenderaan dan jenis kenderaan yang hendak didaftarkan dan salinan pengesahan suntikan typhoid (untuk permohonan permit makanan sahaja).

"Pemohon juga perlu mengemukakan salinan lesen dan permit perniagaan MPK (sekiranya berkaitan), gambar ukuran pasport, alamat kediaman atau syarikat dan bayaran permit RM12.

"Bagi individu yang telah mempunyai permit COD yang dikeluarkan semasa PKP1.0, permit berkenaan masih boleh digunakan sepanjang tempoh PKP kali ini," katanya.