Kantoi seludup benih kerang guna trak tunda

Salehudin (kanan) menunjukkan benih kerang yang cuba diseludup menggunakan trak tunda namun berjaya digagalkan dalam Operasi Inter-Agensi pada sidang akhbar di Pengkalan Utama Jabatan Perikanan Perak, Kampung Acheh, Sitiawan pada Isnin.
Salehudin (kanan) menunjukkan benih kerang yang cuba diseludup menggunakan trak tunda namun berjaya digagalkan dalam Operasi Inter-Agensi pada sidang akhbar di Pengkalan Utama Jabatan Perikanan Perak, Kampung Acheh, Sitiawan pada Isnin.
A
A
A

SITIAWAN - Cubaan menyeludup 42 guni benih kerang bernilai RM58,800 menggunakan trak tunda gagal selepas Jabatan Perikanan Perak berjaya mengesan aktiviti itu dengan bantuan Polis Marin dalam Operasi Inter-Agensi pada Isnin.

Ketua Cawangan Pengurusan Sumber dan Perlindungan Jabatan Perikanan Perak, Salehudin Ismail berkata, operasi itu juga berjaya menahan dua individu masing-masing berusia 22 dan 30 tahun yang merupakan pemandu dan kelendan trak tunda berkenaan.

Menurutnya, nilai rampasan 42 guni kerang tersebut berjumlah RM58,800 manakala trak tunda pula dianggarkan bernilai RM240,000.

"Ini merupakan kes pertama yang kita kesan menggunakan trak tunda untuk menyeludup benih kerang ini kerana sebelum ini penyeludup menggunakan lori yang diubah suai dan kereta.

"Benih kerang yang diambil dari Kebun Kerang Lekir ini dipercayai cuba diseludup ke utara tanah air dan negara jiran menggunakan orang tengah," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pengkalan Utama Jabatan Perikanan Perak, Kampung Acheh di sini pada Isnin.

Beliau menjelaskan, benih kerang tersebut diseludup secara transit ke beberapa lokasi sebelum dijual ke Thailand.

Dalam perkembangan sama, Salehudin berkata, operasi tersebut sebenarnya telah bermula sejak 6 Februari selama tiga hari membabitkan kawasan Pangkor hingga Kuala Bernam.

Katanya, dalam tempoh tersebut Jabatan Perikanan berjaya menghasilkan 37 kes dengan 33 kes berkaitan benih kerang manakala baki empat kes membabitkan bubu naga.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, seramai 18 individu berusia di antara 17 hingga 50 tahun ditahan dalam operasi tersebut.

"Antara barang-barang yang dirampas dan disita termasuklah sampan, bubu naga, kor tangan, kor bergalah dan enjin bot.

"Nilai keseluruhan rampasan dan barangan yang disita berjumlah RM657,930," katanya.

Jelasnya, kesemua yang ditahan melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985, Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Perikanan (Pemulihan dan Kultur Kerang) 2002 dan Seksyen 11 (3)(a) Akta Perikanan 1985.

Sehubungan itu katanya, Jabatan Perikanan akan terus bekerjasama dan menggerakkan Operasi Inter-Agensi dari masa ke masa dalam menguatkuasakan Akta Perikanan 1985.

"Kerjasama ini dapat membantu membanteras kegiatan ini dalam memastikan sumber marin dipelihara daripada ancaman kepupusan dan menjamin keselamatan nelayan berlesen.

"Kita amat memandang serius isu kecurian benih kerang di Perairan Lekor dan mana-mana perairan di Perak. Perairan Lekir telah diwartakan kepada Jabatan Perikanan Perak untuk tujuan pembangunan kebun kerang," katanya.

Beliau berkata, orang ramai terutama nelayan juga diharap terus bekerjasama membendung kegiatan ini bagi memastikan sumber perikanan negara terus dipelihara dan tidak pupus.