X

Kindly register in order to view this article
!

Peniaga tak mengaku salah rogol anak tiri

Tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Isnin atas tiga pertuduhan merogol anak tiri, tahun lepas.
A
A

IPOH - Seorang peniaga pasar malam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Isnin atas tiga pertuduhan merogol anak tirinya yang masih bersekolah tahun lepas.

Tertuduh yang berusia 49 tahun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan dengan anak tiri perempuannya berusia 13 tahun di bilik utama rumah mereka di Kampung Banjar, Ayer Tawar dalam daerah Manjung pada jam 2.30 petang, Jun 2020.

Lelaki itu turut dituduh melakukan perbuatan sama terhadap mangsa di lokasi yang sama pada Julai antara jam 2 petang dan pada 26 Disember tahun lalu pada jam 3.30 petang.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Waffy Ismail memohon agar mahkamah tidak membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin dengan alasan tertuduh tinggal berhampiran dengan mangsa.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili Peguam Shahrul Nizam Mohd Rabi memohon pertimbangan mahkamah untuk jaminan selain menawarkan syarat tambahan untuk tertuduh melapor diri, membuat aku janji agar tidak mengganggu mangsa dan sekiranya perlu tertuduh boleh berpindah ke tempat lain yang jauh daripada mangsa.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan.

Tertuduh turut dikenakan syarat perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan tidak melakukan sebarang perilaku yang mengganggu mangsa.

Mangsa yang mempunyai adik lelaki tiri berusia sembilan tahun telah kematian ibu kandung pada April tahun lepas dan sejak itu tinggal bersama ibu saudara iaitu kira-kira 50 meter dari kediaman tertuduh.

Perbuatan keji didakwa dilakukan tertuduh itu terbongkar selepas mangsa dilihat mengalami kemurungan sebelum menceritakan perkara sebenar kepada ibu saudaranya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!