90 keluarga terima sumbangan tablet untuk PdPR

Onn Hafiz (kanan di tengah) menerangkan cara menggunakan tablet kepada anak-anak Mohd Afiq ketika menyerahkan sumbangan itu di Ladang Layang, pekan Layang-Layang, Kluang pada Isnin.
Onn Hafiz (kanan di tengah) menerangkan cara menggunakan tablet kepada anak-anak Mohd Afiq ketika menyerahkan sumbangan itu di Ladang Layang, pekan Layang-Layang, Kluang pada Isnin.
A
A
A

KLUANG - Seramai 90 keluarga di kawasan Layang-Layang di sini menerima sebuah tablet untuk digunakan dalam Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Onn Hafiz yang juga Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor berkata, sumbangan berkenaan untuk membantu keluarga yang memerlukan tablet kerana tidak memiliki peranti atau gajet.

"Bantuan ini diberikan selepas mengetahui kesukaran anak-anak di Layang-layang untuk mengikuti PdPR kerana ketiadaan gajet, saya merasa terpanggil menyediakan keperluan itu untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan.

"Keutamaan pemberian bantuan tablet ini adalah kepada golongan keluarga B40 selain mempunyai anak yang bersekolah melebihi daripada tiga orang dalam setiap satu keluarga," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan tablet kepada keluarga Mohd Afiq Mohd Tamrin di Ladang Layang, pekan Layang-layang dekat sini pada Isnin.

Katanya, selepas mengenal pasti mereka yang memerlukan, pihaknya mengambil masa kira-kira seminggu untuk mendapatkan 90 tablet dan mengagihkan kepada semua keluarga memerlukan bermula Isnin.

Sementara itu, Mohd Afiq, 33, yang bekerja di ladang tersebut berkata, enam anaknya yang berusia lima hingga 12 tahun belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Layang-Layang tidak jauh dari rumahnya.

Dia berkata, dua anaknya belajar di prasekolah, manakala masing-masing seorang di Tahun Dua, Tiga, Empat dan Enam di SK tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Keadaan ini menyebabkan anak-anak saya memerlukan sekurang-kurangnya sebuah tablet bagi mengikuti sesi PdPR. Sebelum ini termasuk kelas PdPR tahun lepas, mereka perlu menunggu saya balik kerja untuk menyiapkan tugasan yang dihantar guru masing-masing.

"Keadaan ini menyebabkan mereka selalu tertinggal pembelajaran dan terpaksa menyiapkan tugasan pada waktu malam selepas saya balik dari ladang," katanya.

Katanya, sebelum ini keluarganya mengharapkan ada pihak sudi menyumbangkan gajet, namun tidak menyangka hasrat tersebut tertunai menerusi sumbangan daripada Onn Hafiz.