Pembuangan sisa kimia: JAS sedang lengkapkan kertas siasatan

Pegawai JAS Selangor menjalankan siasatan dan persampelan sisa kimia ke atas tong-tong yang dibuang di tapak premis berhampiran sungai di rezab Sungai Langat, Taman Seri Reko, Kajang, Selangor pada Rabu lalu.
Pegawai JAS Selangor menjalankan siasatan dan persampelan sisa kimia ke atas tong-tong yang dibuang di tapak premis berhampiran sungai di rezab Sungai Langat, Taman Seri Reko, Kajang, Selangor pada Rabu lalu.
A
A
A

KAJANG - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor sedang melengkapkan kertas siasatan untuk membawa penjenayah alam sekitar yang terlibat dalam aktiviti pembuangan haram sisa kimia di rezab Sungai Langat, Taman Seri Reko, Kajang, Selangor pada Rabu lalu.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Putrajaya, Norlin Jaafar berkata, satu serbuan telah dijalankan oleh sepasukan pegawai JAS Selangor dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas suspek yang dipercayai terlibat pada Sabtu.

"Berdasarkan maklumat risikan, JAS Selangor telah berjaya menemui sebuah lori muatan 3 tan yang disyaki digunakan dalam aktiviti tersebut yang nyaris menyebabkan Sungai Langat tercemar.

"Lori tersebut telah disita oleh JAS Selangor untuk siasatan lanjut," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Katanya, kertas siasatan sedang dilengkapkan untuk membawa penjenayah alam sekitar ini ke muka pengadilan.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling,1974 yang membawa hukuman berat iaitu penjara mandatori dan boleh didenda tidak melebihi RM500,000.

"Saya ingin merakamkan penghargaan kepada orang awam yang melaporkan mengenai kejadian ini," katanya.

Menurutnya, sebarang aduan pencemaran hendaklah dilaporkan terus ke talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau emel ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga ingin menegaskan bahawa JAS sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi terhadap penjenayah alam sekitar," katanya.

Terdahulu, JAS Selangor dengan kerjasama polis telah memberkas suspek yang disyaki terlibat dalam kes pembuangan haram sisa kimia di rezab Sungai Langat, Taman Seri Reko, Kajang, Selangor pada 3 Februari lepas.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Norlin Jaafar yang memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan bagaimanapun tidak menyatakan jumlah suspek yang diberkas pihak berkuasa itu.