Lelaki nyaris maut, kereta dipandunya terbalik

Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran berkenaan. -Foto Ihsan Bomba Johor
Anggota bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran berkenaan. -Foto Ihsan Bomba Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang lelaki nyaris maut selepas kereta dinaikinya terbabas sebelum terbakar dalam satu kejadian di Jalan Skudai - Impian Emas, di sini, pagi tadi.

Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa M Ashok Kumar, 32, yang mengalami kecederaan sempat dikeluarkan orang awam dari kereta dipandunya sebelum kenderaan itu musnah dijilat api.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Riduan Akhyar berkata, pihaknya menerima laporan kecemasan pada jam 8.25 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.

"Setibanya anggota di tempat kejadian, bomba dapati kemalangan adalah melibatkan sebuah kereta yang terbabas dan sedang terbakar.

"Kami kemudiannya mengambil masa kira-kira beberapa minit untuk memadamkan kebakaran. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.07 pagi," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Riduan berkata, berdasarkan maklumat diterima, mangsa dipercayai dari arah Johor Bahru menghala ke jejambat Impian Emas.

"Setibanya di lokasi kejadian, mangsa dipercayai telah melanggar pembahagi jalan mengakibatkan kenderaannya dinaikinya terbalik," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dikeluarkan dua orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum api mula merebak dan memusnahkan seluruh kenderaan itu.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa kini dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk menerima rawatan lanjut," katanya.