Adli impi sarung jersi Harimau Malaya

Anak kelahiran Kampung Chengal Batu, Adli bersyukur terpilih menyertai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).
Anak kelahiran Kampung Chengal Batu, Adli bersyukur terpilih menyertai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).
A
A
A

PASIR PUTEH - Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman, di sini Adli Ahamad, 18, yang terpilih menyertai Skuad Projek Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) memasang impian untuk menyarung jersi Harimau Malaya pada masa hadapan.

Anak kelahiran Kampung Chengal Batu itu berkata, impian tersebut tidak mustahil untuk dicapai sekiranya dia terus bekerja keras dalam merealiasikan cita-cita itu.

"Sejak menerima tawaran untuk bersama skuad ini, saya terus menanam azam untuk memberikan aksi terbaik.

"Saya mahu meletakkan sasaran untuk menempatkan diri dalam kelompok pelatih terbaik dalam skuad ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, meskipun tugas itu tampak sukar namun dia tidak gentar untuk bersaing secara sihat dengan pelatih-pelatih lain.

Katanya, hal ini kerana semua pemain yang dipilih adalah terbaik dari seluruh negara.

"Matlamat saya satu, mahu menimba seberapa banyak ilmu berkait bola sepak untuk bergelar pemain profesional sebelum mewakili Harimau Malaya," katanya.

Anak bongsu daripada 12 beradik yang beraksi di posisi tengah pertahanan berkata, dia sudah membuat persiapan dari segi mental dan fizikal untuk berdepan sebarang cabaran sepanjang bersama skuad itu nanti.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia tidak mahu lagi menoleh ke belakang dan menjadikan 'plaftrom' tersebut laluan untuk membina kerjaya dalam bola sepak.

Adli (depan, dua dari kiri) berkongsi kegembiraannya bersama guru-guru SMK Sri Aman.
Adli (depan, dua dari kiri) berkongsi kegembiraannya bersama guru-guru SMK Sri Aman.

Skuad Bawah 20 tahun itu akan bersaing dalam Liga Premier 2021 sebagai antara usaha FAM dan MSN mencipta laluan kerjaya produk Program Pembangunan Bolasepak Negara (PPBN), termasuk graduan Akademi Mokhtar Dahari (AMD), dalam memudahkan mereka melakukan transisi ke pentas senior.

Pemain yang terpilih akan menjalani latihan pusat rasmi di MSN, diberi elaun, tempat penginapan dan makanan, sokongan perubatan, pendedahan pertandingan dalam negara, pendedahan antarabangsa serta peluang melanjutkan pelajaran di universiti terpilih.

Sebagai permulaan, seramai 30 pelatih dalam kalangan lepasan AMD, produk Piala Belia dan Piala Presiden serta Sekolah Sukan Malaysia dan Negeri serta Pusat Latihan Daerah (PLD) di bawah NFDP akan membentuk skuad perintis.

Bekas pemain kebangsaan, Yusri Che Lah dilantik melatih pasukan yang menjadi pasukan ke-11 beraksi dalam Liga Premier sebagai antara langkah mendedahkan mereka kepada saingan kompetitif sepanjang musim.