X

Kindly register in order to view this article
!

Nenek sengkang mata jaga anak, cucu OKU

Dari kiri Rozita, Aishah dan Asri di hadapan rumah mereka. (Kanan: NGO Sahabat Prihatin Negeri Kedah meninjau keadaan luar rumah Aishah semasa berkunjung ke rumah nenek tersebut di Batu 13 Jalan Sintok- Changlun, Kedah baru-baru ini.)
A
A

CHANGLUN - Seorang nenek terpaksa bersengkang mata menjaga anak dan cucu yang kedua-duanya adalah orang kurang upaya (OKU) yang mengalami masalah pembelajaran di Batu 13 Jalan Sintok- Changlun, dekat sini.

Semakin dimamah usia, Aishah Musa, 79 kini runsing memikirkan masa depan anak dan cucunya itu selepas dia tidak lagi mampu bekerja dan keadaan rumah mereka pula semakin daif sehingga ada sebahagian dinding rumah sudah dimakan anai-anai.

"Saya mempunyai lima orang anak namun empat daripadanya telah meninggal dunia. Kini bersama saya adalah anak bongsu, Rozita Abdullah, 39 dan seorang cucu. Kami bergantung penuh kepada bantuan orang ramai termasuk sumbangan daripada pihak masjid.

"Pada masa ini mujur saya masih gagah berjalan nak uruskan rumah, anak serta cucu. Saya bimbang jika saya tiada lagi, siapa yang nak jaga mereka", katanya ketika ditemui sempena kunjungan Pengerusi Sahabat Prihatin Negeri Kedah, Amirul Syahir Musa dan Imam Masjid Ibnu Sina, Kampung Tradisi, Lembah Keriang, Jalan Sintok, Abu Kassim Osman di kediamannya, baru-baru ini.

Keluarga warga emas berkenaan menerima sumbangan makanan.

Aishah berkata, dia berharap ada pihak yang sudi membantu untuk membaiki atau membina rumah yang lebih selesa untuk mereka anak beranak.

"Kalau dapat rumah pun dah cukup dah supaya mereka selesa. Saya dah uzur, lagipun adik-beradik Rozita sudah tiada. Siapalah nak jaga mereka selepas ini", katanya.

Abu Kassim (berdiri) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) semasa berkunjung ke rumah Aishah di Batu 13 Jalan Sintok- Changlun, Kedah baru-baru ini.
Abu Kassim (berdiri) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) semasa berkunjung ke rumah Aishah di Batu 13 Jalan Sintok- Changlun, Kedah baru-baru ini.

Dakwa warga emas itu, Rozita pernah menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) namun disebabkan tidak dikemaskini, dia tidak lagi menerima bantuan tersebut.

Sementara itu, Abu Kassim berkata, keluarga tersebut adalah salah seorang asnaf yang menerima bantuan makanan daripada Masjid Ibnu Sina, Kampung Tradisi, Lembah Keriang, Jalan Sintok.

Menurutnya, ramai pihak tampil membantu keluarga itu dan antara keperluan yang sangat diperlukan oleh Aishah sekeluarga adalah penginapan yang lebih selesa dan selamat.

Bagi Amirul Syahir pula, pihaknya akan merujuk perkara tersebut kepada pihak yang berkenaan agar kehidupan Aishah sekeluarga menjadi lebih baik.

"Kami juga turut melancarkan sumbangan dana dengan kerjasama masjid kariah kawasan ini bagi membina mahupun membaiki rumah Aishah yang uzur," katanya.

Kepada pihak yang ingin membantu keluarga tersebut boleh menyalurkan bantuan ke akaun Bank Muamalat (02010004288718) atas nama Masjid Kariah Kg Tradisi Lembah Keriang atau menghubungi Dr Khadafi atau Abu Kassim di talian 0194341010.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!