Kesempitan hidup tak halang nenek beri pelajaran kepada dua cucu

Guru-guru dari SK Dato' Wan Kemara menyantuni keluarga Kharisun di rumahnya di Kubang Pasu pada Ahad.
Guru-guru dari SK Dato' Wan Kemara menyantuni keluarga Kharisun di rumahnya di Kubang Pasu pada Ahad.
A
A
A

KUBANG PASU - Biarpun hidup dalam keadaan daif dan serba kekurangan, namun kegigihan seorang nenek di sini untuk memberi pendidikan kepada dua cucunya seharusnya dipuji.

Kharisun Daud, 58, berkata, penyakit kencing manis yang dihidapinya sejak lima tahun lalu menyebabkan penglihatannya semakin kabur yang menyukarkan dia melakukan aktiviti seharian termasuk membantu cucunya, Mas Emylia Natasya, 9, dan Mohd Alif Ashraf Hidayat, 8, untuk mengulang kaji pelajaran.

"Sekarang ini pula mereka belajar guna tablet, Saya memang tak nampak tulisan yang ada di skrin itu dan tak tahu langsung cara nak guna.

"Mujur juga selepas sekolah bagi sumbangan tablet, guru sekolah mereka selalu datang ke rumah untuk ajar guna tablet dan menghantar kerja sekolah kepada mereka," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Mempelam, Jalan Bukit Kayu Hitam di sini pada Ahad.

Kharisun berkata, dia sangat berterima kasih kepada pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Wan Kemara di sini yang sangat prihatin dengan nasib mereka sekeluarga.

"Guru-guru sekolah itu sering memberi bantuan wang tunai serta barang keperluan lain. Mereka juga tempat saya mengadu. Jika tiada duit untuk makan, guru sekolah inilah tempat saya tuju. Mereka tidak lokek untuk membantu kerana memahami keadaan saya.

"Saya memang tidak mampu untuk menyediakan makanan yang sedap-sedap jauh lagi yang berkhasiat untuk Mas dan Alif. Mujur juga cucu-cucu saya mengerti kesusahan yang dialami dan sudah terbiasa sekiranya perlu menjamah nasi yang hanya digaul dengan minyak ikan goreng," katanya.

Kharisun berkata, keadaannya yang kurang sihat itu membataskan dirinya untuk bekerja dan hanya bergantung kepada bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 selain rumah yang didiami daripada bantuan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Artikel Berkaitan:

"Anak-anak saya sudah berkeluarga dan bekerja biasa saja. Ada yang menjadi nelayan, pembantu kedai dan menjual ikan. Pendapatan mereka tidak menentu tapi mereka ada juga hulur duit kepada saya setakat yang termampu," katanya.

Sementara itu, Guru Besar SK Dato' Wan Kemara, Mohd Nizam Saidin berkata, cucu kepada Kharisun merupakan antara 20 murid golongan asnaf yang menerima telefon pintar serta talian prabayar hasil sumbangan guru-guru sekolah.

Beliau berkata, pemilihan murid itu dibuat oleh satu jawatankuasa yang dilantik bagi memilih murid yang benar-benar layak menerima peranti berkenaan.

"Semoga dengan keprihatinan warga guru SK Dato’ Wan Kemara dapat membantu murid sekolah ini agar tidak ketinggalan pembelajaran dalam tempoh yang sukar ini," katanya.