X

Kindly register in order to view this article
!

Cetakan yang mencetuskan polemik PRU

Bahan atau material kempen pilihan raya dengan logo Bersatu dan Pas turut dipaparkan.
A
A

ORANG ramai yang mundar-mandir di kaki lima sekarang kecoh membicarakan tentangnya. Benda dah jadi viral. Dah tak dapat nak disembunyikan lagi.

Dua video tak berapa saat yang viral itu sudah memadai untuk menceritakan segala-galanya. Terang lagi nyata.

Video pertama menunjukkan suasana di sebuah kilang cetak yang sedang dalam proses mencetak apa yang kelihatan seperti kain rentang biru dengan cetakan perkataan putih yang tertera tulisan - PERIKATAN NASIONAL.

Manakala video kedua pula fokusnya lebih mengkhusus.Juga di kilang yang sama. Mesin cetak canggih sedang mencetak kemeja-T warna biru juga dengan tulisan putih PERIKATAN NASIONAL.

Video-video berkenaan walaupun tidak menyatakan bila dan di mana ia dirakamkan, tetapi semua dah boleh meneka yang ia bukan di Malaysia.

Rakaman video yang menunjukkan kain pemidang PN sedang dicetak mungkin untuk kegunaan PRU15 menjadi viral baru-baru ini.
Rakaman video yang menunjukkan kain pemidang PN sedang dicetak mungkin untuk kegunaan PRU15 menjadi viral baru-baru ini.

Tetapi itu tidak penting. Yang penting ialah proses mencetak bahan-bahan kempen untuk sebuah perikatan politik menandakan yang pilihan raya umum sekadar di hujung pintu. Dah dekat.

Daripada video yang viral itu juga kita dapat melihat dengan jelas bahawa cetakan bahan-bahan kempen tersebut hanya melibatkan dua buah parti iaitu Bersatu dan Pas. Bukan UMNO. Lambang UMNO atau dacing Barisan Nasional (BN) tidak kelihatan langsung.

Yang paling hampir ialah kain-kain yang sedang dicetak itu berwarna biru - saling tak tumpah dengan warna BN. Cuma tidak ada logo dacing sahaja.

Ini pun satu perkara yang menarik juga untuk dianalisis iaitu warna PN sama dengan warna biru (warna BN) dan tulisan pada kain atau baju berwarna biru itu adalah warna putih (juga sama dengan BN). Bijak.

Kalau tak dapat sertai BN, warna nak sama dengan BN pun jadilah. Tetapi dalam politik ini, tiada apa yang mustahil, sebaliknya segalanya berkemungkinan.

Kemeja-T warna biru dengan tulisan Perikatan Nasional.
Kemeja-T warna biru dengan tulisan Perikatan Nasional.

Tak perlu pandang jauh. Lihat Pas dan UMNO pun dah memadai. Suatu ketika dahulu, kedua-dua buah parti ini saling berantakan sampai sembahyang dua imam, suami isteri bercerai berai, tetapi kini boleh duduk semeja pula malah bergandingan dalam kerajaan.

Dan bercakap tentang Pas, dalam situasi hari ini, nampak macam Pas yang paling fleksibel. Siapa sangka - sebelah kaki dalam PN dengan Bersatu dan sebelah kaki lagi dalam Muafakat Nasional bersama UMNO dan BN. Bijak.

Yang nampak sedikit tersepit ialah UMNO kerana kepimpinannya goyah dan tidak kukuh. Ini sebenarnya tidak menghairankan. Ia berlaku kepada mana-mana parti yang hilang cengkaman. Namun UMNO tidak mati. Ia cuma tidak kuat seperti dahulu.

Yang menjadi pertanyaan ramai malah dalam kalangan pimpinan UMNO sendiri seperti Tan Sri Annuar Musa ialah apakah UMNO akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti tanpa menjadi sebahagian daripada PN.

Bagi Annuar, UMNO secara solo tanpa pakatan tak akan mampu memenangi pilihan raya umum.

“UMNO dulu adalah gabungan 14 parti politik termasuk dari Sabah dan Sarawak yang membentuk BN. Ia tidak memerlukan bantuan atau pakatan dengan parti luar untuk menang dan membentuk kerajaan.

“Tetapi hari ini, BN hanya ada lima parti gabungan sahaja. Jumlah ini tidak memadai untuk memenangi PRU15 tanpa gabungan atau kerjasama dengan parti-parti lain. Tapi soalnya ialah parti mana...,” ujarnya.

Annuar sendiri sebagai seorang ahli Parlimen atau pemimpin UMNO tidak berupaya untuk menentukan halatuju baru UMNO dan BN.

Yang akan menentukannya ialah presiden dan dewan tertinggi BN.

Dan jika diikutkan perutusan terakhir Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau sendiri tidak mahu menangguh PRU15. Malah beliau sekali lagi berjanji akan membubarkan Parlimen sebaik sahaja wabak Covid-19 dalam keadaan terkawal.

Bukan Muhyiddin sahaja bersentimen demikian malah seluruh rakyat Malaysia pun sama.

Darurat dijadualkan tamat pada Ogos. Logik menyatakan, PRU15 paling cepat akan diadakan sebaik sahaja tempoh darurat tamat.

Tempohnya cuma lagi enam bulan. Maka tidak hairanlah kain pemidang dan kemeja-T PN untuk kempen pilihan raya dah mula dicetak yang sekaligus mencetuskan polemik pilihan raya umum dalam kalangan kita semua.

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Sinar Harian


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!