X

Kindly register in order to view this article
!

GPMS Perak gesa pentaksiran SPM bersifat terbuka

GPMS Perak menyokong usaha KPM dan LPM merombak sistem pentaksiran SPM yang telah menjangkau 50 tahun. Gambar kecil: Muhammad Asree
A
A

IPOH - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak menggesa supaya pentaksiran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lebih bersifat terbuka menerusi rombakan yang akan dibuat terhadap peperiksaan itu.

Pengerusinya, Muhammad Asree Abdul Aziz berkata, dengan pentaksiran baharu itu, penilaian tidak 100 peratus berasaskan penulisan pada hari peperiksaan semata-mata.

Menurutnya, sehubungan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) perlu menyemak kembali format pentaksiran SPM selaras dengan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

"Melihat kepada keperluan industri dan perkembangan pendidikan yang sentiasa berubah, adalah relevan sekiranya pentaksiran dalam SPM diterapkan seperti penilaian di institusi pengajian tinggi (IPT).

"Contohnya, penilaian 60/40 dengan 60 peratus melalui peperiksaan dan 40 peratus berdasarkan kerja kursus dan penilaian ‘open book test’ sebelum SPM," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan eksklusif Sinar Harian bahawa LPM mengesahkan telah memulakan langkah melakukan transformasi terhadap sistem dan pensijilan SPM yang telah berusia lebih 50 tahun.

ARTIKEL BERKAITAN: [EKSKLUSIF] SPM bakal dirombak

Dalam pada itu, Muhammad Asree berkata, bagaimanapun, berdasarkan kepada format terbaharu pentaksiran SPM bermula 2021, pentaksiran bagi mata pelajaran Sejarah kembali kepada format lama iaitu 100 peratus berdasarkan Kertas 1 dan Kertas 2.

Jelasnya, manakala Kertas 3 mata pelajaran Sejarah yang sebelum ini diwujudkan telah dimansuhkan bermula tahun 2021 dan GPMS Perak menggesa format pentaksiran SPM bermula 2021 wajar dikaji semula.

"Pandemik Covid-19 yang melanda dunia ketika ini membawa kesan yang besar dalam perkembangan pendidikan di negara kita. Begitu juga dalam perkembangan pentaksiran dalam peperiksaan SPM.

"Oleh itu, pendidikan di Malaysia perlu segera beradaptasi dengan norma baharu dan sepatutnya pada saat ini menjadikan situasi semasa sebagai reset button dalam mereformasi pendidikan negara selaras dengan keperluan semasa," katanya.

Sementara itu, Muhammad Asree berkata, GPMS Perak turut mencadangkan supaya kaedah penyemakan kertas jawapan berasaskan teknologi diperkenalkan.

Menurutnya, perkara itu bertujuan meminimumkan kos logistik dan lebih fleksibel kepada guru yang ditugaskan untuk menyemak kertas jawapan SPM.

Beliau berkata, secara umum pihaknya menyokong usaha murni KPM dan LPM dalam merombak sistem pentaksiran SPM yang telah menjangkau 50 tahun itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!