X

Kindly register in order to view this article
!

Kelas semuka diperlukan sebagai pecutan terakhir

Laporan Sinar Harian pada Ahad. Gambar kecil: Salmee
A
A

ALOR SETAR - Keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menamatkan sesi persekolahan secara bersemuka pada 9 Februari bagi menangani pandemik Covid-19 adalah kurang bijak.

Bekas Exco Pendidikan Kedah, Dr Salmee Said berkata, ini kerana pelajar sudah banyak ketinggalan dalam pelajaran mereka apabila mengikuti sesi pembelajaran di rumah sejak tahun lepas dan menjadikan kelas dua minggu sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) sebagai pecutan terakhir.

Menurutnya, ketika kembali ke sekolah semula, inilah masa untuk mereka benar-benar fokus kepada persediaan peperiksaan dengan bimbingan.

“Saya tidak setuju dengan keputusan pelajar mengulangkaji pelajaran sendiri. Sesi pembelajaran terganggu sejak tahun lepas dan mereka perlu terus hadir ke sekolah mengulangkaji bersama guru untuk memahami apa yang belum difahami,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Salmee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Siputeh bagaimanapun, bersetuju SPM dan SVM perlu diteruskan pada 22 Februari ini.

“Sepatutnya peperiksaan ini sudah selesai tahun lepas, ternyata KPM tiada perancangan kontingensi. Kalau ditangguhkan lagi akan ganggu pula kemasukan pelajar ke universiti,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim memaklumkan sesi persekolahan secara bersemuka bagi 423,758 calon SPM dan SVM tahun 2020 akan tamat pada 9 Februari ini dalam satu surat pekeliling bertarikh 4 Februari lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Sesi persekolahan bersemuka calon SPM, SVM tamat 9 Februari ini

Mengulas lanjut, Salmee menyifatkan KPM tiada perancangan menyeluruh atau hala tuju yang jelas bagi memastikan sistem pendidikan negara tidak terjejas.

“Tindakan KPM sering berubah-ubah, adakah mereka tiada jawatankuasa pemikir atau penasihat atau tiada perbincangan bersama Persatuan Guru dan Ibu Bapa (PIBG)?

"Pendidikan sangat penting untuk melahirkan generasi cemerlang, KPM harus fikirkan sistem pendidikan baharu ketika berhadapan dengan Covid-19. Kalau tiada perancangan jelas akan menyebabkan kegagalan pendidikan anak-anak kita,” katanya.

Beliau juga bimbang ramai pelajar akan terus tercicir dalam pelajaran dan tidak boleh menguasai membaca, menulis dan mengira (3M).

Dalam pada itu, Salmee berkata, KPM perlu melakukan kajian lebih terperinci dan tidak tergesa-gesa sekiranya ada rombakan atau transformasi terhadap SPM.

“Sebarang perubahan hendaklah mengambil kira kualiti dan pengiktirafan sijil dalam negara dan antarabangsa. Perubahan harus selari dengan dunia teknologi terkini jdan perlu diselaras dalam pendidikan supaya bersesuaian,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan sekolah swasta sudah mula melakukan pelbagai transformasi bersesuaian untuk memastikan pendidikan lebih berkualiti dan pada masa sama memenuhi kehendak KPM.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!