Pengimejan 3D dalam perubatan

A
A
A

SEKURANG-kurangnya sekali dalam seumur hidup, kita pasti akan menjalani pemeriksaan X-ray dada sama ada sebagai syarat untuk memasuki alam pekerjaan atau untuk melanjutkan pelajaran.

Pemeriksaan X-ray dada selain digunakan untuk diagnosis tulang rusuk yang patah, juga digunakan untuk melihat organ-organ dalam bahagian dada seperti paru-paru, jantung, diafragma, tulang rusuk dan saluran darah utama.

Penemuan X-ray pada 1895 oleh WC Roentgen telah membuka era baharu bidang perubatan dan pergigian. Teknologi pengimejan itu berkembang pesat daripada hanya dua dimensi (2D) kepada tiga dimensi (3D) kini.

Imbasan computed tomography (CT) atau tomografi berkomputer ialah prosedur X-ray yang menggabungkan banyak imej X-ray untuk mendapatkan imej 3D. Menggunakan teknologi komputer yang canggih, imej keratan rentas yang diambil boleh diproses untuk menunjukkan organ, tisu atau tulang dengan jelas.

Pengimbas CT boleh digunakan untuk memeriksa antara lain rangka kepala dan otak (kebiasaannya bagi mangsa kemalangan jalan raya untuk melihat rangka yang patah atau pendarahan dalam otak), toraks (bahagian dada), abdomen dan pelvis, tulang belakang (turus vertebra) dan bahagian paha serta kaki.

Ia boleh menunjukkan lokasi kecederaan dan sejauh mana kecederaan akibat kemalangan atau kerosakan akibat kanser. Maklumat ini membantu doktor mendapatkan diagnosis awal dan merancang jenis pembedahan.

Proses imbasan CT biasanya mengambil masa antara 30 hingga 60 minit bergantung pada jenis pemeriksaan yang dijalankan.

Bagi sesetengah prosedur, sejenis cecair (media kontras) akan diberikan, sama ada melalui suntikan atau diminum untuk memudahkan organ dilihat dengan jelas. Semua imej yang dihasilkan akan diteliti oleh pakar radiologi dan laporan akan disediakan.

Artikel Berkaitan:

Kini, dengan kepesatan teknologi komputer, saintis komputer, jurutera bioperubatan serta jurutera biobahan turut terlibat dalam mereka bentuk tulang gantian bagi menggantikan tulang pesakit yang hancur atau pecah akibat kemalangan mahupun dipotong akibat kanser.

Dengan pencetak 3D, tulang gantian boleh terus dicetak menggunakan bahan yang sesuai seperti titanium dan sebagainya.

Selain imbasan CT yang dapat memberikan hasil imej 3D, satu lagi kaedah pemeriksaan untuk mengesan dan menentukan jenis penyakit atau abnormaliti dalam tubuh manusia ialah pengimejan resonans magnetik atau magnetic resonance imaging (MRI).

Pemeriksaan MRI berbeza kerana ia tidak melibatkan penggunaan radiasi mengion. Pemeriksaan itu melibatkan penggunaan gelombang radio dan magnet berkuasa tinggi untuk menghasilkan imej organ dalam tubuh manusia.

Pemeriksaan ultrabunyi juga dapat memberikan imej 3D. Imbasan ultrabunyi yang digunakan dalam pengimejan perubatan membabitkan penggunaan gelombang bunyi berfrekuensi antara dua hingga 15 megahertz (MHz).

Frekuensi ini di luar julat pendengaran manusia. Ketika proses imbasan berlaku, gelombang ultrabunyi yang dihasilkan oleh transduser (pemindah arus) yang dipegang seorang pengendali akan menembusi lapisan kulit, lemak, otot serta organ manusia.

Secara purata, 90 peratus daripada bakal ibu kini menjalani sekurang-kurangnya dua kali imbasan ultrabunyi untuk memeriksa bayi dalam kandungan.

Maklumat daripada imbasan digunakan untuk membuat diagnosis tertentu atau memberi saranan bersesuaian kepada ibu bapa demi kebaikan ibu dan bayi.

Kebolehan untuk melihat organ dalaman manusia dalam keadaan dan bentuk sebenar tanpa perlu membedah telah memberi sinar baharu dalam bidang perubatan.

Pengamal perubatan dapat melihat dengan jelas tulang, saluran darah, saraf dan organ lain dan ini banyak membantu dalam intervensi untuk menyelamatkan nyawa.

* Dr Johari Yap ialah Pensyarah Radiologi Oral dan Maksilofasial, Pusat Pengajian Sains Pergigian, Kampus Kesihatan, Universiti Sains Malaysia.