Koperal didakwa tiga pertuduhan rasuah

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang anggota polis berpangkat koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima suapan, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohd Shariff Ahmad, 51 mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan selepas dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Shariff didakwa telah secara rasuah meminta suatu suapan iaitu wang tunai RM10,000 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk menutup kes dadah yang sedang disiasat Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu sebuah bengkel dalam daerah Kulai kira-kira jam 6.20 petang pada 31 Disember 2017.

Bagi pendakwaan kedua, dia turut dituduh bersetuju menerima suapan bernilai RM3,000 daripada lelaki berkenaan sebagai dorongan untuk menutup kes yang sedang disiasat itu.

Mohd Shariff didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 9.25 malam di lokasi yang sama pada 4 Disember 2017.

Bagi kedua-dua pertuduhan ini, dia didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama.

Tertuduh kemudiannya didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama kerana menerima suapam berupa wang tunai bernilai RM3,000 di lokasi yang sama pada 6 Disember 2017.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudiannya membenarkan ikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin selain menetapkan 11 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Khazrin Haffiz Khalil manakala tertuduh diwakili Peguam, Siti Rasidah Abd Radzak.