‘Saya lari ke rumah lepas dengar letupan’

Dua rumah yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Padang Jawa, Shah Alam pada Sabtu. Hanya sebuah rumah yang terbakar sebanyak 10 peratus.
Dua rumah yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Padang Jawa, Shah Alam pada Sabtu. Hanya sebuah rumah yang terbakar sebanyak 10 peratus.
A
A
A

SHAH ALAM - “Lepas dengar bunyi letupan, saya terus lari ke rumah dan melihat api sudah marak,” kata salah seorang mangsa kebakaran rumah di Padang Jawa di sini pada Sabtu.

Muhammad Nor Ikhwan Mohd Nor Sheth, 28, berkata, sebelum kebakaran itu berlaku, rumahnya terputus bekalan elektrik pada petang Sabtu dan dia terus menghubungi kontraktor untuk membuat kerja pendawaian.

Dia yang sudah menyewa rumah itu lebih dua tahun berkata, ketika kontraktor datang ke rumahnya dan membuat kerja pendawaian, dia bersama isterinya, Suzulaika Mohd Sater, 28, dan anaknya, Muhammad Sayf Haqqani Muhammad Nor Ikhwan, 1 tahun, duduk di luar rumah jirannya.

“Lebih kurang jam 9 malam, tiba-tiba saya terdengar bunyi letupan dan ternampak kepulan asap di rumah saya.

“Saya berlari ke rumah untuk selamatkan barang dan dokumen penting, tapi bila saya buka pintu, api dah mula marak. Saya tak sempat selamatkan apa-apa pun,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Muhammad Nor Ikhwan bersama isteri dan anaknya.
Muhammad Nor Ikhwan bersama isteri dan anaknya.

Bagaimanapun, katanya, dia sempat menyelamatkan dua buah motor sebelum rumahnya rentung.

“Yang tinggal hanyalah dompet, beg yang saya galas dan telefon manakala isteri saya hanya dapat telefon sahaja. Saya sempat tarik keluar dua buah motor tapi kuncinya hangus di dalam rumah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menceritakan kejadian selepas kebakaran itu, katanya, dia sekeluarga kini tinggal di rumah kakak iparnya di di Lorong Sri Aman, Kampung Padang Jawa di sini.

Menurutnya, video berkenaan tragedi yang menimpa keluarganya tular di media sosial telah mendapat perhatian ramai pihak yang bersimpati dengan keadaannya serta tampil untuk memberi bantuan kepada mereka.

Antara pihak yang turun padang untuk menghulurkan bantuan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Rodziah Ismail; pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan penduduk tempatan.

“Buat masa ini, kami sekeluarga masih tidak terfikir untuk menyewa di tempat lain. Terima kasih saya ucapkan kepada semua pihak yang membantu kami sekeluarga,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Penguasa Kanan Bomba I Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan insiden kebakaran itu pada jam 9.33 malam.

Menurutnya, seramai 30 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, Andalas dan Sungai Pinang bersama tiga buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Laporan awal mendapati kebakaran melibatkan dua buah rumah berkembar kelas C berkeluasan setiap satu 30 X 60 kaki persegi dengan anggaran terbakar sebanyak 100 peratus.

“Kebakaran dapat dikawal pada jam 10 malam dan tiada kecederaan dilaporkan manakala punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Hafisham berkata, laporan selanjutnya mendapati sebanyak tiga buah rumah atas satu lot yang sama musnah dalam kebakaran tersebut.

Menurutnya, sebuah rumah kelas B yang dihuni lima orang daripada dua keluarga telah musnah sepenuhnya dipercayai tempat bermula kebakaran.

“Sebuah rumah kelas B yang disewa kepada enam orang warga Indonesia juga musnah sepenuhnya semasa kebakaran manakala sebuah rumah kelas A yang dihuni oleh empat orang warganegara hanya mengalami 10 peratus kemusnahan,” katanya.

Rumah yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Padang Jawa, Shah Alam pada Sabtu.
Rumah yang musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Padang Jawa, Shah Alam pada Sabtu.