300 penduduk Tanjung Tokong Fasa 4A pindah ke rumah baharu

Wan Junaidi (dua dari kiri) menyampaikan replika kunci rumah rumah baharu kepada salah seorang penduduk Tanjung Tokong Fasa 4A.
Wan Junaidi (dua dari kiri) menyampaikan replika kunci rumah rumah baharu kepada salah seorang penduduk Tanjung Tokong Fasa 4A.
A
A
A

GEORGETOWN - Lebih 300 penduduk penempatan semula Tanjung Tokong Fasa 4A akan berpindah ke kediaman baharu mereka secara percuma oleh syarikat pemaju hartanah dan pengurusan aset, UDA Holdings Berhad (UDA).

UDA yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) membangunkan semula kediaman penduduk yang kini tinggal sementara di rumah transit.

Menteri di MEDAC, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, proses pemindahan perlu disegerakan bagi membolehkan penduduk mendiami kediaman yang lebih selesa dan selamat khususnya dalam tempoh penularan pandemik Covid-19.

Menurutnya, projek penempatan semula penduduk sekitar Tanjung Tokong yang diterajui UDA sejak 1972 itu dilihat sebagai satu usaha yang membanggakan bagi membantu masyarakat khususnya golongan Bumiputera di kawasan tersebut.

"Ia bagi membantu penduduk untuk memiliki kediaman lebih teratur dan selesa terutama di tengah bandar Pulau Pinang yang mana nilai hartanahnya sangat tinggi dan di luar kemampuan golongan Bumiputera. Keadaan rumah yang didiami mereka juga sudah usang.

"Perdana Menteri baru-baru ini juga meminta proses pemindahan dipercepatkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan kebajikan rakyat diutamakan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Secara kasar, harga pasaran seunit rumah di Projek Pangsapuri Warisan Tanjung Fasa 4A tersebut bernilai RM400,000 dan mula dibangunkan pada 27 Oktober 2014.

Projek itu sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA dalam membangunkan bandar serta menyediakan penempatan semula bagi masyarakat Bumiputera di Tanjung Tokong, di sini.

Artikel Berkaitan:

Sejak 1972, UDA telah membina 8,023 unit secara berfasa yang mana dari jumlah tersebut 4,455 telah siap dibina manakala bakinya akan dibina dalam masa terdekat.

Sementara itu, Pengerusi UDA, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, pihaknya dalam proses menyerahkan kunci rumah baharu kepada penduduk Tanjung Tokong Fasa 4A yang terlibat.

Menurutnya, inisiatif itu dilihat bertepatan ketika pandemik Covid-19 dalam usaha membantu penduduk terlibat mendiami rumah yang lebih kondusif dan selesa.

“Sebelum menerima kediaman tetap ini, penduduk mendiami penempatan sementara rumah panjang yang disediakan oleh UDA. Kawasan tersebut lebih padat berbanding pangsapuri ini.

"Usaha ini juga secara tidak langsung dapat membantu mengekang penularan Covid-19, sekali gus menangani kes yang kian meningkat saban hari," katanya.

Projek Pangsapuri Warisan Tanjung Fasa 4A yang dibangunkan oleh anak syarikat UDA, UDA Land (North) Sdn Bhd menampilkan pangsapuri tiga bilik dengan dua jenis keluasan iaitu 850 dan 800 kaki persegi.

Terdapat lima buah blok pangsapuri enam tingkat dengan jumlah keseluruhan 210 unit (850 kaki persegi) dan lima buah blok pangsapuri sembilan tingkat berjumlah 340 unit rumah (800 kaki persegi) di lokasi strategik yang mempunyai pelbagai kemudahan di sekitarnya seperti pasar raya, pusat beli-belah, masjid dan sekolah.

Pembangunan yang terletak di daerah Timur Laut itu dibina di atas tanah seluas 3.23 hektar melibatkan belanja RM84 juta.