Jangan biar masjid jadi kubur

Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. - sumber foto: Portal Pengurusan Masjid
A
A

RAKAN saya, Afiz, sudah lama jadi bendahari surau dan sebuah kawasan kediaman maju dekat pusat sebuah pusat bandar. Banyak sudah duit yang dikumpul oleh suraunya itu dan banyaklah juga kegiatan dijalankan dan kemudahan disediakan oleh surau tersebut.

Hampir setiap malam ada ceramah dan pengajian selepas Maghrib dan surau itu sudah banyak dihias. Untuk penambahbaikan surau itu sahaja pun sudah lebih RM1 juta. Permaidaninya cantik dan tebal, temboknya dihiasi mosaic dan jubinnya berukir mengikut seni Islam, dengan banyak sudut surau dipenuhi dengan surah-surah pilihan daripada al-Quran.

Pendingin udara mengguna remote ada 10 buah. Kalau pasang enam pun sudah cukup untuk buat maklum menggeletar kesejukan, seolah-olah berada di negara bersalji. Kalau waktu solat Subuh, hanya dua dipasang, dan di bahagian belakang disokong pusingan kipas. Lampu jangan dicakap lagi; terang-benderang hingga waktu malam cerahnya masya-ALLAH sama seperti waktu siang.

Namun begitu, Afiz masih tidak puas hati dengan apa disediakan di surau itu. "Buat cantik-cantik, kemudahan banyak, kerusi meja beratus, kawasan bertutup seperti bilik dan dewan banyak, bilik halaman besar, tapi mulai jam 10 malam, pintu masjid dikunci. Siapa pun tak boleh masuk Gelap gelita. Kawasan kubur pun tak segelap itu," dia mengeluh.

Saya bertanya, apa sebenarnya yang dia mahu? Jawapannya mudah difaham. "Ada restoran buka 24 jam, kedai serbanika 24 jam, rumah tumpangan 24 jam. Kenapa masjid dan surau tak boleh beroperasi 24 jam?" dia persoalkan.

Bukanlah tidak ada langsung. Ada masjid seperti Masjid Ikhlas di sebelah terminal bas sementara di Seksyen 13 Shah Alam, Selangor, yang sentiasa terbuka. Sekurang-kurangnya kawasan sekeliling ruang dewan solat dibuka untuk sesiapa sahaja solat dan tidur selepas jam 10 malam.

Memandangkan kedudukannya bersebelahan terminal bas ekspres yang bergerak antara Shah Alam dan berpuluh-puluh bandar di seluruh semenanjung dari utara ke pantai timur dan selatan, peranan masjid yang membenarkan sesiapa sahaja tidur adalah sesuai sangat.

Masjid Seri Petaling yang tersergam di Kuala Lumpur jangan dicakapkan lagilah.

Sejak hari pertama ia dibuka lebih 30 tahun lalu itu sampailah ke saat ini, masjid tersebut tidak pernah ditutup.

Semakin hari semakin ramai - beratus-ratus malah ada kalanya beribu-ribu umat Islam - kebanyakannya jemaah tabligh pelbagai bangsa, berehat, tidur dan beribadat di masjid itu.

Memang ada masjid dan surau di sesetengah tempat, terutama di kawasan pingitan, tidak dapat kumpul dana yang banyak. Tetapi kebanyakannya dapat kumpul berpuluh ribu hasil daripada derma hari Jumaat dan hari-hari biasa, hingga tidak tahu hendak buat apa dengan dana yang banyak itu.

"Apa salah, gajikan pengawal seorang dua setiap malam untuk menjaga kepentingan masjid dan surau. Kalau tidak boleh banyak pun, sekurang-kurangnya boleh jadi tempat berteduh bagi mereka yang musafir," katanya.

Kalau di luar negara, seperti di Afrika Selatan, banyak masjid bukan sahaja dibuka 24 jam, dan membenarkan jemaah tidur, malah menyediakan makanan seadanya kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya pada waktu malam.

Dengan cara itu, barulah peranan masjid dan surau sejajar dengan matlamat sebagai pencetus kepada syiar Islam, seperti yang digalakkan oleh Islam dan seperti diamalkan berkurun-kurun di Masjidil Haram di Makkah.

Tidaklah adil jika kita menganggap tidak ada masjid dan surau yang sedia memberi khidmat kepada jemaah dan musafir pada waktu malam, tetapi jumlahnya masih boleh dikira dengan jari.

Masih banyak, sama ada kerana tidak mahu mengeluarkan perbelanjaan lebih daripada akaun simpanan atau khuatir segala perhiasan dan kemudahan yang ada dicuri atau dirosakkan, masih bersikap seolah-olah tidak mesra ummah.

Renung-renunglah apa yang dicadangkan oleh rakan saya itu.

* Penulis bekas wartawan yang cenderung menulis mengenai palbagai isu untuk kepentingan rakyat dan negara


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.