Cadangan SOP penggambaran, acara langsung dibentang ke MKN esok

Saifuddin (dua, kanan) menyerahkan bantuan kepada penduduk setempat pada majlis menyampaikan sumbangan Tahun Baru Cina 2021 di kawasan Air Putih, hari ini. -Foto Bernama
Saifuddin (dua, kanan) menyerahkan bantuan kepada penduduk setempat pada majlis menyampaikan sumbangan Tahun Baru Cina 2021 di kawasan Air Putih, hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Cadangan prosedur operasi standard (SOP) bagi kebenaran mengadakan aktiviti seni termasuk penggambaran dalam dan luar studio serta acara langsung, akan dibentang pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) esok (Isnin), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, SOP itu yang disifatkan lebih ketat berbanding sebelum ini, diharap akan memperoleh kelulusan segera bagi memastikan kelangsungan hidup mereka yang mencari makan menerusi aktiviti seni, kerana kebanyakannya kini berdepan situasi 'tiada kerja, tiada gaji'.

“Kita faham dalam produksi drama atau filem, 80 peratus ialah kru produksi atau pekerja yang dibayar gaji secara harian. Kerja mereka menjadi terhad jika hanya dibenarkan membuat penggambaran dalam studio, kerana kebanyakan adegan berlaku di luar.

“Selain itu, turut menjadi perhatian KKMM (Kementerian Komunikasi dan Multimedia) ialah acara langsung seperti ‘busking’ yang menjadi rezeki, termasuk kepada orang kurang upaya (OKU). Walaupun ada yang melihat aktiviti ini sebagai halwa telinga dan bukan perkhidmatan perlu, namun ia melibatkan soal mencari makan,” katanya.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata demikian pada sidang media Program Kembali ke Sekolah 2021 di pusat khidmatnya di sini pada Ahad, ketika diminta mengulas rayuan penggiat seni untuk dibenarkan bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang berkuat kuasa sehingga 18 Februari ini.

Cadangan SOP itu, menurut Saifuddin dibangunkan dengan penglibatan semua pihak termasuk Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan persatuan berkaitan, selain berdasarkan pengalaman serta penyelidikan amalan syarikat produksi luar negara, dalam situasi pandemik Covid-19.

“Kami juga mendapat pengakuan daripada mereka yang memohon diberikan kebenaran, bahawa akan memastikan pematuhan SOP dan bersedia jika disyaratkan perlu mempunyai pihak luar seperti anggota Rela (Jabatan Sukarelawan Malaysia) sebagai pemantau, selain dipantau sendiri oleh FINAS.

“Mereka juga telah menunjukkan pematuhan kepada SOP sepanjang aktiviti itu dibenarkan beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), menyebabkan mereka yakin boleh mematuhi syarat yang dikenakan kali ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: PFM rayu kerajaan benarkan aktiviti penggambaran

Mengulas mengenai Program Kembali ke Sekolah Saifuddin berkata, pusat khidmat beliau memperuntukkan RM300,000 bagi tujuan itu, yang melibatkan 1,080 pelajar daripada kategori B40, meningkat daripada tahun lalu iaitu RM100,000 kepada 500 pelajar.

Sumbangan seperti beg sekolah, alat tulis, botol air dan baucar pembelian keperluan sekolah bernilai RM150 seorang turut disampaikan kepada 60 anak yatim di dua buah rumah anak yatim, selain pemberian 200 set kerusi dan meja kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Karang, SK Indera Mahkota, SK Sungai Talam dan SK Cenderawasih di sini.

Terdapat 47 sekolah dalam Parlimen Indera Mahkota dengan 16 daripadanya ialah sekolah menengah, yang mana setiap satu menerima sumbangan wang tunai RM1,000 bagi penganjuran program solat hajat dan bacaan Yasin untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini. - Bernama