Misi bantuan musim sejuk untuk pelarian Syria

Skuad ‘Sisterhood Winter Mission’ bagi menggalas misi bantuan musim sejuk buat pelarian-pelarian Syria yang berada di Turki.
Skuad ‘Sisterhood Winter Mission’ bagi menggalas misi bantuan musim sejuk buat pelarian-pelarian Syria yang berada di Turki.
A
A
A

SHAH ALAM - Islamic Relief Malaysia (IRM) merangka pelan bantuan menerusi kempen Rayuan Musim Sejuk bagi membantu pelarian di Syria terutama di kawasan Aleppo, Idlib dan golongan rentan di Yaman merangkumi lima wilayah iaitu Sana’a, Taiz, Amran, Dhamar dan Sa’ada.

Ketua Bahagian Operasi IRM, Siti Fadilah Mohd Hood berkata, kempen yang telah bermula sejak November lalu itu menyasarkan dana sebanyak RM400,000 hasil sumbangan rakyat di negara ini.

"Diharapkan kempen ini dapat membuka hati dan menyatukan rakyat Malaysia agar prihatin terhadap situasi sukar yang dihadapi saudara-saudara kita di negara lain," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Siti Fadilah yang juga ketua pasukan ‘Sisterhood Winter Mission’ turut berkongsi pengalaman pada awal tahun lepas apabila IRM telah menghantar skuad ‘Sisterhood Winter Mission’ bagi menggalas misi bantuan musim sejuk buat pelarian Syria yang berada di Turki.

Katanya, misi yang disertai ikon IRM, Irma Hasmie dan tiga kakitangan IRM berada di Turki selama enam hari bagi menyampaikan amanah penyumbang di Malaysia yang telah dikumpulkan sejak Oktober 2019 menerusi kempen Rayuan Musim Sejuk.

Kanak-kanak Syria dibantu untuk membeli barangan keperluan musim sejuk.
Kanak-kanak Syria dibantu untuk membeli barangan keperluan musim sejuk.

"Objektif misi tersebut adalah untuk melihat sendiri keadaan pelarian Syria yang disantuni, memantau pelaksanaan projek bantuan IRM kepada pelarian Syria, memberi pendedahan kepada Ikon Kemanusiaan IRM mengenai operasi pejabat lapangan Islamic Relief, serta berkongsi keadaan dan keperluan semasa di lapangan kepada penyumbang.

“Sewaktu misi berlangsung, konflik di Syria telahpun memasuki tahun kesembilan. Justeru, emosi para pelarian yang kami lihat di Turki ketika itu sedikit tenang berbanding pada fasa permulaan konflik.

Artikel Berkaitan:

"Kebanyakan pelarian tinggal di dalam kem yang diurus dan diselenggara oleh pihak berkuasa Turki tetapi sebahagian yang lain menetap di luar kem seperti rumah-rumah atau pusat tumpangan yang disewa. Memandangkan mereka tidak mampu untuk membayar sewa yang tinggi, kebanyakan keluarga memilih untuk tinggal di rumah yang daif," katanya.

Tambah beliau, terdapat juga dalam kalangan pelarian terutama ibu tunggal yang mengalami tekanan akibat kesempitan hidup dan kerisauan melampau kerana bimbang akan keselamatan ahli keluarga yang masih berada di Syria.

Mengulas lanjut, beliau berkata, golongan yang paling teruk terjejas semestinya wanita, kanak-kanak dan warga emas.

"Kebanyakan golongan wanita terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga tanpa kehadiran suami di sisi.

“Melihat kepada situasi tersebut, Islamic Relief merangka pelbagai program bersifat jangka masa panjang bagi membolehkan para wanita terutama ibu tunggal dapat berdikari dan menjana pendapatan agar dapat menguruskan keluarga dengan lebih baik dan selesa.

“Antara projek-projek bantuan yang dijalankan adalah projek perlindungan bagi memastikan mereka mendapat tempat perlindungan yang selamat dan juga projek kehidupan mampan seperti latihan kemahiran menjahit, membuat kraf tangan dan modal perniagaan untuk menjana pendapatan seterusnya memastikan kebajikan dan masa depan keluarga terjamin.

"Bagi anak-anak yatim pula, mereka diberi bantuan penajaan meliputi aspek pendidikan, kesihatan, sosial dan kemahiran,” katanya.

Dalam misi bantuan musim sejuk tersebut, ‘Sisterhood Winter Mission’ berpeluang untuk melihat pelaksanaan projek bantuan musim sejuk menerusi agihan baucar sebanyak 500Turkish Lira TRY (RM288) seorang dan berpeluang membantu para pelarian membeli barangan keperluan musim sejuk mereka di kedai pakaian terpilih.

Sejak tahun 2012 sehingga 2019, Islamic Relief memperuntukkan lebih RM162 juta setiap tahun untuk bantuan kemanusiaan di Syria dan Turki merangkumi bantuan makanan, kehidupan mampan, kesihatan, air dan sanitasi, tempat perlindungan dan barangan bukan makanan serta pendidikan dan kebajikan kanak-kanak.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbang kepada akaun Islamic Relief Malaysia iaitu 5621-4270-8704 (Maybank), 8602-0738-18 (CIMB Islamic) atau 1202-9010-0656-43 (Bank Islam) dengan kod rujukan iaitu Rayuan Musim Sejuk.