Nafas diminta pertimbang harga benih padi sah

Tengku Zafrul (kanan) diiringi Noh semasa melakukan lawatan ke sebuah pusat semaian padi swasta di Parit 4 di sini pada Ahad.
Tengku Zafrul (kanan) diiringi Noh semasa melakukan lawatan ke sebuah pusat semaian padi swasta di Parit 4 di sini pada Ahad.
A
A
A

TANJONG KARANG - Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) diminta menimbang semula penetapan harga maksimum benih padi sah pada harga RM35 bagi setiap 20 kilogram berkuat kuasa musim tanaman pertama, Januari lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pertanian dan Perdagangan Dalam Negeri Parlimen, Tan Sri Noh Omar berkata, penetapan harga benih itu merugikan pesawah di Selangor yang boleh mendapatkan harga pada kadar hanya RM28 di pintu kilang.

Menurutnya, pelaksanaan penetapan harga itu mungkin boleh dipraktikkan di negeri lain yang terpaksa membeli benih padi pada harga melebihi RM35.

"Seperti di Selangor kita ada kilang mengeluarkan benih padi tetapi pesawah tidak dibenarkan membeli benih padi daripada kilang kerana kerajaan telah melantik Nafas sebagai pemborong tunggal dalam pembelian benih padi sah," katanya pada sidang akhbar selepas Program Lawatan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ke Pusat Pukal Padi di Parit 4 di sini pada Ahad.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, masalah itu juga turut dibangkitkan beliau kepada Tengku Zafrul semasa lawatan terbabit.

"Beliau (Tengku Zafrul) juga akan membawa perkara ini kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan untuk tindakan lanjut," katanya.

Noh berkata, Nafas seharusnya lebih fleksibel bagi memberi kebebasan kepada pesawah untuk membeli benih padi daripada kilang sedia ada yang sah.

"Kalau petani boleh dapat harga daripada pintu kilang biarlah mereka uruskan sendiri dan sekiranya harga kilang lebih daripada RM35 mereka bolehlah membuat belian benih melalui Nafas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau memberitahu, rata-rata pesawah turut mengeluh apabila hanya empat varieti benih padi dijual Nafas pada masa ini.

"Empat varieti itu adalah MR297, MR219, MR269 dan MR303, sebaliknya kebanyakan pesawah mahukan varieti CL220 yang mampu menghasilkan pengeluaran hasil padi lebih baik dan rentang penyakit," katanya.

Selain itu, katanya, beliau turut bimbang sekiranya pesawah berasa tertekan dengan harga benih yang ditetapkan Nafas menyebabkan berlakunya pembelian benih padi tidak sah secara berleluasa.

"Apabila pesawah membeli benih padi tidak sah ia sudah tentu menjejaskan pengeluaran hasil padi," katanya.