Bunuh bapa saudara kerana tidak tahan dibuli, dipukul

Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan mereput di dalam longkang sebuah kilang di Taman Perindustrian Beringin, Juru pada petang Jumaat. Gambar kecil: Shafee
Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan mereput di dalam longkang sebuah kilang di Taman Perindustrian Beringin, Juru pada petang Jumaat. Gambar kecil: Shafee
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Suspek kes pembunuhan lelaki warga Bangladesh yang mayatnya ditemukan dalam keadaan mereput di Taman Perindustrian Beringin, Juru pada Jumaat lalu mengakui melakukan jenayah tersebut kerana tidak tahan dibuli mangsa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, suspek yang juga warga Bangladesh merupakan anak saudara kepada mangsa.

Beliau berkata, selain dibuli, siasatan awal mendapati mangsa juga dikatakan sering memukul suspek menyebabkan dia tidak tahan dengan perbuatan mangsa.

"Suspek yang berusia 21 tahun itu mengaku melakukan jenayah tersebut kerana tidak tahan dengan sikap mangsa yang juga bapa saudaranya didakwa kerap membuli dan memukul.

"Suspek juga mendakwa mangsa selalu memukul dan memarahinya sekiranya mangsa tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara. Sebelum kejadian, kedua-duanya bergaduh menyebabkan suspek memukul mangsa sehingga meninggal dunia," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat reput ditemui dalam longkang

Tambah beliau, kedua-duanya bekerja di kilang pakaian yang sama di kawasan Juru di sini sejak lima bulan lalu.

"Selepas memukul mangsa sehingga mati, suspek menyembunyikan mayat bapa saudaranya itu dalam longkang di tepi bangunan kilang tempat mereka bekerja. Kilang itu telah dijadikan gudang menyimpan kain serta asrama penginapan pekerja asing.

"Mangsa dikatakan hilang sejak 15 Januari lalu namun tiada sebarang laporan polis dibuat, malah suspek telah ke tempat kerja seperti biasa. Suspek kini direman tujuh hari untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh," katanya.

Shafee berkata, suspek dan mangsa mempunyai dokumen yang lengkap untuk bekerja di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan untuk melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Pada Jumaat lalu, mayat Mohammar Rajib Mia, 29, ditemukan dalam longkang sebuah kilang oleh pengurus jualan kilang terbabit kira-kira jam 1.30 petang selepas dia terhidu bau busuk.

Mangsa mengalami kecederaan disebabkan objek tumpul secara dominan.

Hasil siasatan, polis berjaya mengesan suspek di sebuah lagi kilang milik syarikat yang sama di Jalan Start Avenue, Pusat Perniagaan Star Avenue, Simpang Ampat di sini tidak lama kemudian.

Polis menemukan senjata yang digunakan iaitu sebilah pisau, tukul besi dan batang besi yang terdapat kesan darah tidak jauh daripada lokasi mayat, selain terdapat kesan darah di tingkat atas premis yang dijadikan pejabat dan penginapan pekerja.